Felda Sahkan Dapat Kembali Hak Milik Tanah Jalan Semarak - Berita Semasa | mStar

Felda Sahkan Dapat Kembali Hak Milik Tanah Jalan Semarak

Diterbitkan: Isnin, 15 Januari 2018 5:00 PM

Shahrir pada sidang media berkaitan perkembangan terbaru berkaitan Tanah Felda di Jalan Semarak di Menara Felda, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengesahkan ia telah mendapat kembali hak milik tanah di Jalan Semarak daripada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), tanpa melibatkan apa-apa kos, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad.

Pemilikan semula hak milik kesemua 16 plot tanah, yang melibatkan empat transaksi jual beli dilakukan pada Disember 2015 dan November 2016, diperoleh menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara Felda dan SPSB di ibu pejabat Felda, Isnin.

“Pihak pemaju telah secara sukarela bersetuju untuk mengembalikan hak milik tanah itu kepada Felda tanpa kos dan telah menyerahkan kesemua surat hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula ke atas nama Felda,” katanya dalam temu bual khas dengan Bernama di sini.

Berhubung pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC)  yang sedang dilaksanakan di tanah itu, Shahrir berkata projek tersebut akan tetap diteruskan kerana pihak pemaju telah memperoleh perintah pembangunan sebelum transaksi tukar hak milik tanah dilakukan.

Beliau berkata semua perkara berhubung projek KLVC bergantung kepada perjanjian pembangunan yang telah ditandatangani antara anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC) dan SPSB pada Jun 2014.

“Kita perlu asingkan soal pemilikan tanah dan juga hal projek pembangunan di tanah itu kerana jika apa-apa berlaku kepada syarikat pemaju, kepentingan Felda ke atas tanah terjamin dan tidak akan pergi bersama (tergadai),” kata Shahrir.

Shahrir menjelaskan dalam perjanjian pembangunan berkenaan, soal kewangan dan dana pembangunan bukan di bawah tanggungjawab Felda.

Perjanjian pembangunan itu juga menyatakan Felda bakal mendapat pembayaran tunai sekurang-kurangnya berjumlah RM500 juta atau 10 peratus daripada nilai keseluruhan pembangunan projek itu, mana satu lebih tinggi, katanya.

Shahrir berkata Felda dan SPSB akan berunding semula bagi penambahbaikan ke atas pelaksanaan perjanjian pembangunan tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Felda akan turut memastikan segala proses dan prosedur pengembalian tanah ini serta proses lain dalam projek KLVC akan menurut tatacara tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti,” katanya.

Mengenai laporan polis yang telah dibuat pada 12 Disember tahun lepas di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574), Shahrir menegaskan Felda telah memutuskan untuk tidak menarik balik laporan itu.

Beliau berkata laporan  polis adalah untuk menyiasat dakwaan salah  laku melibatkan pemindahan milik yang dilakukan secara tidak sah, dan bukan mengenai projek itu.

Audit forensik yang sedang berjalan juga akan diteruskan untuk mengenal pasti  jika terdapat salah laku dalam transaksi tersebut, katanya.

Tags / Kata Kunci: Felda , Jalan Semarak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan