Kuota Khas Haji Antara Berita Baik Buat 123,000 Pesara Polis - Berita Semasa | mStar

Kuota Khas Haji Antara Berita Baik Buat 123,000 Pesara Polis

Diterbitkan: Isnin, 15 Januari 2018 12:50 PM

(Ubah saiz teks)

Dikemaskini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita baik buat kira-kira 123,000 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM),meliputi empat perkara  yang memberi manfaat.

Beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM3 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis setiap tahun selama tempoh tiga tahun bagi membantu kebajikan pesara dan keluarga mereka, memperuntukkan kuota  khas haji, sebahagian daripada 10,000 unit skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M)-PDRM akan dikhaskan kepada pesara polis dan kemudahan penyaluran bantuan kepada mereka menerusi Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis.

Bilangan kuota khas haji untuk pesara polis itu akan umumkan perdana menteri selepas kerajaan mendapat jumlah kuota keseluruhan  daripada kerajaan Arab Saudi.

"Selepas itu saya akan beritahu timbalan perdana menteri dan ketua polis negara  berapa jumlah untuk dikhaskan kepada pesara-pesara," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan lebih 5,000 pesara polis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Najib berkata Bahagian Hal Ehwal Pesara Polis akan disusun semula dan cawanganya  akan dibuka di setiap negeri bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada pesara polis.

"Kesemua ini bukanlah nilai kepada perjuangan pesara kerana sumbangan anda tidak ternilai dalam menjaga agama, bangsa dan negara," katanya.
Najib turut meminta Ketua Polis Negara mengenal pasti pesara yang tertinggal daripada mendapat pengiktirafan atas jasa yang dilakukan selama ini.

"Bukanlah mereka berjuang kerana nak pingat, tetapi mereka inginkan pengiktirafan daripada negara," katanya.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan pesara supaya terus menyokong kerajaan sedia ada bagi membolehkan negara menuju ke puncak kejayaan.

Beliau berkata pesara dan rakyat tidak seharusnya membuat perhitungan yang salah dengan memilih pihak tanpa ideologi serta tidak memikirkan perjuangan agama, bangsa dan negara.

"Tanah air inilah sahaja yang ada pada kita, perjuangan yang dulu pasukan keselamatan lakukan janganlah disia-siakan...banyak lagi yang ingin kita (kerajaan) lakukan," katanya.-Bernama



Tags / Kata Kunci: polis , Najib , haji
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan