Keluarga Jejak Proton Saga Dimenangi Arwah Ismail Pada 1985 - Berita Semasa | mStar

Keluarga Jejak Proton Saga Dimenangi Arwah Ismail Pada 1985

Diterbitkan: Ahad, 14 Januari 2018 6:09 PM

(Ubah saiz teks)

SUNGAI PETANI: Keluarga pesara tentera Ismail Jaafar, 71 yang juga pencipta nama kereta Proton Saga, kereta nasional pertama negara, mahu menunaikan hasrat terakhir beliau iaitu menjejaki semula kereta yang diterimanya sebagai hadiah  pada 1985.

Balunya Sariah Abdul Rahman, 69, berkata Allahyarham suaminya amat menyayangi kereta tersebut namun terpaksa menjualnya bagi menampung perbelanjaan pengajian anak-anak serta membayar balik pinjaman perumahan.

"Bagi menggembirakan hati suami, anak bongsu kami Siti Sarismahaniza (meninggal dunia pada 2016) membelikan sebuah Proton Gen 2 dengan nombor plat yang sama kira-kira tujuh tahun lalu untuk ayahnya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Nuri Jaya, dekat sini Ahad.

Ismail yang bersara dengan pangkat staf sarjan dan jawatan terakhir ketua kerani di sebuah sekolah tentera (Kor Perkhidmatan) di Taiping, Perak, meninggal dunia akibat sakit tua pada  3.10 petang Jumaat lalu.

Sementara itu, anak ketiganya, Siti Sarismahanim, 37, berkata mereka berjaya menghubungi pemilik kereta terbabit yang dipercayai berada di  Pendang.

"Kami dimaklumkan ada pengubahsuaian yang telah dibuat, banyak berbeza dengan kereta asal termasuklah dari segi warna.

"Pemiliknya juga sukar untuk melepaskan kereta tersebut yang telah digunakannya sejak sekian lama, namun hasrat terakhir arwah ayah itu akan cuba kami tunaikan," katanya.

Sementara itu, hari ini kediaman keluarga berkenaan dikunjungi Panglima 6 Briged, Brig. Jen Abdul Aziz Ismail bersama pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan persatuan veteran tentera.

Abdul Aziz yang mengucapkan takziah kepada keluarga terbabit, berkata pihaknya akan meneliti bentuk bantuan yang boleh dihulurkan bagi membantu meringankan beban ditanggung keluarga arwah.

"Antara bantuan yang dapat diusahakan ialah bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM3,000. Selain  daripada itu saya serah kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran untuk mengambil tindakan susulan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz berkata, ATM menghargai semua bekas tentera sama ada berpencen atau tidak, namun bantuan akan lebih mudah disalurkan jika mereka menyertai persatuan bekas tentera.
 -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan