'Berani Mati' Gaduh Depan Pensyarah!

Diterbitkan: Sabtu, 13 Januari 2018 12:00 PM

Paparan klip menunjukkan pergaduhan antara dua pelajar yang tular di Twitter sejak Rabu. - Twitterr/ Nadiahzmii

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pergaduhan antara dua pelajar institusi pengajian swasta yang dipercayai berlaku ketika seorang pensyarah masih berada di dalam kelas telah mencetuskan kekecohan.

Rakaman video yang melibatkan dua pelajar lelaki yang memakai topi menunjukkan mereka berdua saling bertikam lidah sebelum berlaku insiden tolak menolak.

Seorang pelajar lain cuba meleraikan perbalahan antara mereka sementara pelajar-pelajar lain dipercayai tidak mahu masuk campur.

"Wei..wei...hormatlah Madam (pensyarah)," tegur seorang lagi pelajar terhadap kedua-dua pelajar lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu.

Namun, rupa-rupanya 'drama pergaduhan' itu hanyalah lakonan semata-mata demi meraikan hari ulangtahun pensyarah wanita yang mengajar kelas tersebut.

Posting tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, Wan Nur Nadia Amanina Wan Hazmi, 20, yang berkata idea untuk mengenakan pensyarah kegemaran mereka, Adlin Zahida Daut itu datang secara spontan selepas mereka membuat persembahan tugasan kumpulan.

"Tak semua pelajar tahu mengenai 'prank' ni sebab kami tak rancang pun. Idea untuk buat kejutan ini pun datang daripada pelajar lelaki yang bergaduh dalam video itu.

"Kami anggap Puan Adlin Zahida macam ibu sendiri sebab dia seorang yang penyayang dan terlalu memahami, namun tegas dalam hal berkaitan tugasan pelajaran," jelas pelajar jurusan Diploma Pengurusan Industri Sukan di Universiti Selangor itu kepada mStar Online.

Setakat ini, posting itu telah menerima lebih 16,400 'retweet' dan 9,780 tanda suka sejak ia dimuat naik.

Melalui video tersebut, semua pelajar mula menyanyikan lagu 'hari jadi' ketika lampu dipadamkan dan seorang pelajar perempuan muncul dengan membawa kek yang dinyalakan lilin.

Pensyarah itu kelihatan memeluk tubuh dan seakan terkejut dengan insiden kekecohan terbabit mula mengukir senyuman selepas menyedari ia sebenarnya 'gurauan kasar' oleh pelajar-pelajarnya.

Wanita yang bertudung ungu itu kemudiannya memberi tanda isyarat 'jaga-jaga' kepada semua pelajar yang bersubahat menjayakan drama pergaduhan itu.

Tags / Kata Kunci: sambutan ulangtahun

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan