“Tak Mahu Curi Elektrik Lagi” - Berita Semasa | mStar

“Tak Mahu Curi Elektrik Lagi”

Diterbitkan: Jumaat, 12 Januari 2018 10:13 AM

Azam kesal dengan perbuatannya itu dan kini membayar bil bulanan elektrik seperti biasa.

(Ubah saiz teks)

KUALA ROMPIN: Niat hanya untuk mengurangkan kadar bil bulanan elektrik, seorang penduduk Kuala Rompin tidak sangka perbuatannya melakukan pintasan saluran elektrik ke rumahnya dikesan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kerja melakukan pintasan agar saluran elektrik tidak melalui meter itu bukan dilakukan sendiri, sebaliknya oleh individu lain.

Mengakui kesal dengan perbuatannya itu, beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Azam telah pun menjelaskan bayaran seperti yang dituntut oleh TNB atas kesalahannya itu.

“Tak sangka ia menjadi kesalahan besar sebab saya hanya mahu menjimatkan bil bulanan yang kadang mencecah RM200 sebulan.

“Sekarang saya dah bayar bil bulanan seperti biasa dan kesal dengan perbuatan saya itu,” katanya kepada Sinar Harian, Khamis.

Akhbar ini semalam melaporkan sebanyak 870 kes kecurian elektrik melibatkan kediaman dan premis komersil direkodkan oleh TNB di negeri ini sepanjang 2017.

Pemeriksaan ke atas 14 kawasan di seluruh negeri menunjukkan tiga daerah mencatatkan kes tertinggi iaitu Kuantan (193 kes), Rompin (181 kes) dan Pekan (117 kes) bagi kategori kediaman.

Dalam pada itu, Azam turut menyarankan agar pengguna elektrik mengelak melakukan perbuatan sedemikian dan menggunakan kaedah yang lebih baik dalam memastikan bil bulanan rendah. - Sinar Online

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan