Pendaftaran KL Maraton Standard Chartered Dibuka Hari Ini - Berita Semasa | mStar

Pendaftaran KL Maraton Standard Chartered Dibuka Hari Ini

Diterbitkan: Rabu, 10 Januari 2018 4:59 PM

SCKLM memasuki edisi ke-10 tahun ini. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: KL Maraton Standard Chartered (SCKLM) 2018 yang dijadual pada 8 April, menyasarkan untuk menarik penyertaan sehingga 35,000 peserta.

SCKLM yang memasuki edisi ke-10 tahun ini, akan kembali berlangsung di Dataran Merdeka.

Pengarah projek SCKLM  Rainer Biemans berkata pihaknya sangat beruntung kerana dapat menarik peserta yang setia menyertai acara larian itu sejak beberapa tahun lepas, untuk bersaing dalam kesemua 10 edisi perlumbaan berkenaan.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada peserta larian ini atas sokongan mereka dan untuk meraikan ulang tahun ke-10 perlumbaan tersebut.

"Kami akan sentiasa melibatkan mereka melalui saluran media sosial untuk memberikan pelbagai hadiah dan cenderahati,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Sementara itu, Bank Standard Chartered berbangga untuk sekali lagi menjadi penaja utama SCKLM buat tahun ke-10 perlumbaan larian tersebut.

"Ia memang amat menggembirakan untuk melihat acara larian ini menjadi kejohanan utama di Malaysia, yang sememangnya dinanti-nantikan pelari maraton," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Standard Chartered Malaysia Abrar A. Anwar.

Pendaftaran menyertai SCKLM 2018 dibuka mulai 10 Januari.  Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai SCKLM boleh layari www.kl-marathon.com.

-Bernama
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan