Buruh Haram: Mangsa Boleh Dianggap Bersubahat - Berita Semasa | mStar

Buruh Haram: Mangsa Boleh Dianggap Bersubahat

Diterbitkan: Selasa, 9 Januari 2018 1:00 PM

Buruh haram yang merupakan rakyat Malaysia teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap ejen kerana khuatir mereka akan dianggap bersubahat.

(Ubah saiz teks)

LAPORAN KHAS

PETALING JAYA: Tuntutan hak kemanusiaan dan keadilan buat rakyat Malaysia yang menjadi buruh haram di Korea Selatan gara-gara terpedaya taktik licik ejen pekerjaan seakan kabur kerana mereka boleh dianggap bersubahat melakukan kesalahan undang-undang.

Ini kerana tidak semua mereka yang merantau ke negara tersebut ditipu 'bulat-bulat' oleh ejen kerana ada segelintir mangsa yang sedar risiko yang akan dihadapi apabila memutuskan untuk mencari rezeki di bumi K-pop itu.

Yazid.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa dari Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Yazid Zul Kepli (gambar) berkata, sehubungan itu, isu untuk menegakkan hak mangsa tidak timbul kerana mereka bekerja di negara itu secara haram, sekali gus tidak mengikut prosedur undang-undang.

"Daripada satu sudut mereka bukanlah mangsa. Kalau daripada awal sudah tahu akan bekerja secara haram, bermakna dia pun bersubahat.

"Keadaan kedua pula, alasan tidak tahu undang-undang hingga menganggap apa yang dilakukan itu salah bukan alasan kukuh," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Buruh Haram Dedah Ejen 'Pow', Buat Kerja Kotor

"Bantu Buruh Haram, Jangan Biar Terkapai-Kapai"

Buruh Haram: Rakyat Malaysia Ditawar Kerja Kotor, Bahaya

Jelasnya, kedua-dua kategori buruh haram itu tetap akan dikenakan tindakan biarpun mereka mendakwa menjadi mangsa.

Bagaimanapun, mangsa boleh membuat laporan polis sekiranya mereka benar-benar ditipu ejen yang sudah berjanji akan menyediakan visa pekerja yang sah, tetapi gagal berbuat demikian.

Kata Yazid, pihak polis akan menjalankan siasatan apabila terdapat individu membuat aduan polis ke atas ejen yang menipu mereka.

"Mangsa keberatan nak ke balai polis sebab apa yang mereka lakukan pun menyalahi undang-undang.

"Alternatif lain adalah pihak kerajaan mewujudkan talian hotline untuk mereka yang ingin membuat aduan kerana ditipu ejen, jadi mereka rasa lebih selamat untuk membuat laporan," ujarnya.

Selain itu, lebih praktikal sekiranya ada badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membuat laporan kepada pihak polis bagi pihak mereka yang tertipu.

Dua ejen Malaysia yang didakwa bergiat aktif memperdaya rakyat negara ini untuk bekerja secara haram di Korea Selatan.

Jelasnya lagi, rakyat Malaysia yang berada di luar negara hendaklah mencari perlindungan atau mendapatkan bantuan pihak Kedutaan Malaysia di negara terbabit sekiranya berdepan dengan masalah di tempat kerja atau yang melibatkan visa kerja.

"Rakyat Malaysia yang mengalami masalah di luar negara sewajarnya mendapatkan nasihat dan pandangan pihak kedutaan.

"Sebenarnya, walaupun rakyat kita melakukan jenayah di mana-mana negara termasuk dikenakan hukuman gantung, biasanya, kedutaan masih akan hantar wakil sebab dia ialah rakyat Malaysia dan kedutaan tidak akan lepas tangan," jelasnya.

Namun, beliau menasihatkan agar mangsa-mangsa turut mendapatkan bantuan peguam di Korea Selatan kerana mereka lebih arif tentang undang-undang di negara berkenaan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan