“Penyokong Anwar Tak Dapat Terima Tun M” - Berita Semasa | mStar

“Penyokong Anwar Tak Dapat Terima Tun M”

Diterbitkan: Isnin, 8 Januari 2018 6:55 PM

- Gambar fail

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata tindakan Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri tidak boleh diterima oleh penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Air mata,darah, keringat dan pengorbanan peribadi mereka membela Anwar Ibrahim selama 20 tahun yang ditindas oleh Tun Mahathir, dalam sekelip mata telah menjadi sia-sia dan diperlekehkan  begitu sahaja," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui ruangan twitternya @mpkotabelud Isnin.

Abdul Rahman berkata tidak hairan ada penyokong PH marah dan mempersoal kenapa bekas perdana menteri dan bekas timbalan perdana itu dengan mudah bermaafan setelah memaki hamun sesama mereka selama 20 tahun.

"Jangan ingat soal Tun M dan Anwar berbaik semula hanyalah isu antara dua individu politik. Realitinya persengketaan peribadi Mahathir dan Anwar sejak 1998 telah memporak-perandakan dan melumpuhkan kestabilan negara," katanya.

Beliau berkata tindakan dua pemimpin tersebut juga membuat rakyat terkilan kerana ia ternyata mempunyai kepentingan politik apabila meminta maaf secara lewa dan memaksa rakyat menerima kemaafan itu.

Abdul Rahman berkata selama 20 tahun persengketaan dua pemimpin tersebut rakyat dihidang dengan demonstrasi, rusuhan dan kempen menghasut yang tidak pernah reda sejak 1998 dan akibatnya ekonomi terkesan serta kestabilan politik negara terjejas.

"Krisis politik demi krisis politik saling berganti sepanjang 20 tahun Tun M dan Anwar berperang antara mereka.

"Demi permainan nafsu politik, mereka sanggup nak memperjudikan kestabilan negara dan ramai kerjaya orang politik binasa kerana persengketaan mereka," katanya.

Abdul Rahman seterusnya berkata rakyat terutama penyokong Anwar selama ini tidak akan diperbodohkan kerana mereka menyedari ia hanya sandiwara politik mereka berdua.

Pada Ahad, PH mengumumkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14). -Bernama

Tags / Kata Kunci: Tun M , calon PM , Anwar Ibrahim
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan