Pertukaran Nelayan Malaysia-Indonesia 11 Januari - Berita Semasa | mStar

Pertukaran Nelayan Malaysia-Indonesia 11 Januari

Diterbitkan: Ahad, 7 Januari 2018 2:55 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Pertukaran nelayan Malaysia yang kini ditahan di Indonesia dan nelayan  republik itu yang ditahan di Malaysia bagi kesalahan menceroboh kawasan perairan dijangka dilakukan pada Khamis ini, kata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili  Abu Bakar.

Ketika diminta mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Nelayan tempatan dinasihatkan berhati-hati bagi mengelak ditahan pihak berkuasa negara lain atas kesalahan menceroboh perairan, katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu dan status terkini nelayan Malaysia yang ditahan oleh pihak  berkuasa Indonesia.

Terdahulu, Zulkifili menyaksikan penyerahan nota serah tugas oleh Pengarah Maritim Wilayah Selatan Laksamana  Pertama Maritim Datuk Adon Shalan kepada penggantinya  Laksamana Pertama Maritim Datuk Abu Bakar Idris.

Adon akan bersara wajib pada 9 Jan ini dan Abu Bakar akan menjawat jawatan itu berkuat kuasa pada tarikh sama.

Sebelum ini, enam  nelayan Malaysia dilaporkan ditahan di Indonesia manakala 70 nelayan Indonesia pula ditahan di Malaysia atas kesalahan menceroboh kawasan perairan masing-masing ketika menangkap ikan.

Dua hari lepas, Ahmad Shabery dalam satu kenyataan berkata enam nelayan warganegara tempatan itu dijangka  dibebaskan dalam tempoh terdekat.

Beliau  berkata persetujuan untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara itu dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan Ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lepas.-- Bernama  

Tags / Kata Kunci: APMM , Indonesia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan