Mayat Bayi Ditemui Dalam Beg Di Tepi Tasik - Berita Semasa | mStar

Mayat Bayi Ditemui Dalam Beg Di Tepi Tasik

Diterbitkan: Jumaat, 5 Januari 2018 12:29 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu beg galas yang ditinggalkan di tepi tasik dan dihurung lalat yang ditemui seorang pemancing membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan di Tasik Seksyen 6, Kota Damansara dekat sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mayat bayi yang dibungkus dalam beg plastik dan disumbat dalam beg galas itu ditemui pemancing warganegara Indonesia yang sedang memancing di kawasan berkenaan.

“Dia menemui beg galas berwarna hitam yang ditinggalkan atas rumput di tasik itu dan kemudian membuka beg galas berkenaan sebelum menemui beg plastik yang berisi mayat bayi perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mohd Zani berkata, pemancing itu segera menghubungi rakannya yang kemudiannya pergi ke lokasi kejadian sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat sama ada bayi itu baru dilahirkan atau sebaliknya.

“Punca kematian akan ditentukan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan