Perancang Perkahwinan Perjelas Isu 'Rasmi' Pelamin - Berita Semasa | mStar

Perancang Perkahwinan Perjelas Isu 'Rasmi' Pelamin

Diterbitkan: Khamis, 4 Januari 2018 8:30 AM

Muhammad Dhirar (gambar kecil) menjelaskan keadaan sebenar bagi menjernihkan salah faham yang berlaku antara pengantin dan personaliti media sosial, Itsrosenicotine.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Hanya kerana salah faham, dua personaliti media sosial teruk dikecam netizen gara-gara bersanding di atas pelamin pengantin sebenar yang didakwa dilakukan secara tanpa izin.

Tambah panas apabila kedua-dua selebriti Instagram itu mencetus kontroversi setelah memuat naik video parodi mereka melakukan gerak bibir (lip-sync) lagu popular berjudul 'Pematah Hati' dendangan Nabila Razali.

Tidak mahu membiarkan mereka berdua terus dipersalahkan, perancang perkahwinan untuk majlis tersebut, Muhammad Dhirar Raihan, 30, tampil memberi penjelasan tentang keadaan sebenar.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin Mengamuk 'Pelamin Anganku Musnah'!

"Sebenarnya, ini adalah masalah komunikasi... dari awal lagi kami nak buat reviu video untuk melakukan promosi perkhidmatan yang ditawarkan oleh Deezaa Catering Sdn. Bhd.

"Kami ada beritahu pengantin tentang penggunaan pelamin dan khemah, tapi pengantin ingatkan mereka yang akan jadi pelakon," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Muhammad Daniel (kiri) dan Itsrosenicotine (kanan) hanya menjayakan karakter mereka sebagai pengantin untuk tujuan promosi.

Dakwa Muhammad Dhirar, pihaknya sudah meminta izin dan pihak pengantin sudah bersetuju untuk penggambaran dilakukan di pelamin mereka sebelum majlis berlangsung.

Tambahnya, ini merupakan kali pertama dia mengendalikan penggambaran untuk tujuan promosi dan tidak dapat berbincang secara terperinci dengan pasangan pengantin berkenaan memandangkan mereka sibuk membuat persiapan menjelang hari bahagia mereka.

"Atas persetujuan, memang kami ingin berikan ekstra seperti sebuah kanopi, set bufet ala hotel, kerusi mempelai dan set hidangan dom buat empat VIP.

"Kami tidak tahu pula yang mereka menyangkakan mereka yang akan terlibat dalam video itu, walhal yang sebenarnya Rose dan Daniel yang akan berlakon sebagai pengantin," ujarnya.

Terdahulu, mStar Online melaporkan, impian sepasang pengantin untuk 'merasmikan' pelamin idaman mereka lebur apabila muncul pasangan 'pengantin' lain yang terlebih dahulu bersanding di atas pelamin berona hijau dan ungu itu.

Akibatnya, pasangan 'pengantin' itu yang juga merupakan personaliti media sosial menerima kecaman netizen kerana dituduh tidak menghormati hak orang lain dengan memuat naik gambar 'perkahwinan' mereka di Instagram.

Personaliti itu yang hanya ingin dikenali sebagai Itsrosenicotine, 20, dan suami olok-oloknya dalam gambar tersebut, Muhammad Daniel Zamri, 24, menjelaskan bahawa mereka hanya menjalankan tugas dan tidak berniat untuk mensabotaj majlis perkahwinan tersebut.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan