Azmin Ali Tanding Shah Alam? - Berita Semasa | mStar

Azmin Ali Tanding Shah Alam?

Diterbitkan: Khamis, 4 Januari 2018 9:54 AM

Azmin Ali

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin masing-masing dijangka bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam dan Parlimen Hulu Langat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber, nama mereka dan dua kerusi Parlimen berkenaan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor di sini, Rabu.

Pada PRU13, kedua-dua  kerusi itu dimenangi PAS yang ketika itu masih bersama-sama pakatan pembangkang.

"PKR mungkin bertanding di kedua-dua kerusi itu namun ia masih dalam perbincangan dan memerlukan persetujuan semua  rakan komponen PH," katanya.

Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR kini penyandang  kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa manakala Zuraida penyandang  kerusi Parlimen Ampang.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi calon PAS  Khalid Abdul Samad (kini Parti Amanah Negara (Amanah)) selepas menewaskan calon  Barisan Nasional (BN) Zulkifli Noordin dengan majoriti 10,939 undi, sementara kerusi Parlimen Hulu Langat dimenangi  Che Rosli Che Mat juga daripada PAS yang mengalahkan calon BN, Adzhaliza Mohd Nor dengan majoriti 17,267 undi.

Sementara itu, Pengarah JPR Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata keputusan untuk menentukan parti daripada komponen PH yang akan bertanding di kesemua 25 kerusi DUN Selangor sandangan PAS dan BN akan ditentukan akhir bulan ini.

Beliau berkata keempat-empat parti komponen PH iaitu DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih lagi berbincang sebelum memuktamadkan pembahagian kerusi.

Pengarah Pilihan Raya PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari berkata  calon daripada parti berkenaan tidak akan semata-mata tertumpu  untuk bertanding di kerusi yang ditandingi calon Umno sebaliknya menerima mana-mana kerusi yang sewajarnya.

Selangor mempunyai 56 kawasan DUN, dengan DAP menguasai 14 kerusi, PKR dan PAS masing-masing 13 kerusi, BN 12 kerusi dan Amanah serta Bebas, masing-masing dua kerusi. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , Parlimen Shah Alam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan