Terkandas 9 Jam: “Imigresen Boleh Bantu Semak Tapi...” - Berita Semasa | mStar

Terkandas 9 Jam: “Imigresen Boleh Bantu Semak Tapi...”

Diterbitkan: Rabu, 3 Januari 2018 9:00 AM

Wan Fadillah (kiri) bersama anak perempuannya yang terkandas sembilan jam sebelum dibenarkan pulang ke Kuching, Sarawak.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun mempunyai salinan pasport dan salinan sijil kelahiran serta laporan polis mengenai kehilangan MyKid, seorang kanak-kanak warga Malaysia masih tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) untuk menaiki pesawat pulang ke Kuching, Sarawak. 

Kejadian pada 31 Disember lalu menyebabkan kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun itu terkandas selama sembilan jam selepas bapanya memutuskan untuk mengambil pasport anaknya di Kuching dan kembali semula ke KLIA2 bagi menjemputnya pada hari yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkandas 9 Jam: “Bukan Polis Bantuan, Orang Luar Yang Bantu”

Menurut laman web Jabatan Imigresen, selain pas masuk pesawat atau ‘boarding pass’ bagi perjalanan dalam negeri, seseorang yang ingin keluar dari Sabah dan Sarawak, mereka perlu mengemukakan salah satu dokumen, antaranya pasport antarabangsa Malaysia dan dokumen perjalanan terhad (DPT).

Ia termasuk dokumen perjalanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seperti kad pengenalan (MyKad/MyKid) atau sijil kelahiran.

Laporan polis berhubung kehilangan MyKid milik anak Wan Fadillah.

Bagaimanapun menurut sumber, laporan polis mengenai kehilangan dokumen pengenalan bersama dengan salinan pasport dan salinan sijil surat beranak merupakan bahan pembuktian yang boleh digunakan menyemak rekod seseorang warganegara Malaysia.

Bercakap mengenai kes kanak-kanak 12 tahun yang terkandas kerana tercicir MyKid, katanya, ia bergantung kepada semakan polis bantuan Malaysia Aiport Holdings Bhd (MAHB) mengenai pergerakan keluar masuk seseorang penumpang yang mendakwa dirinya sebagai warga Malaysia yang mahu pergi ke Sabah atau Sarawak.

“Ini adalah isu polis bantuan MAHB. Berdasarkan salinan dokumen pengenalan, polis bantuan boleh membuat semakan mengenai rekod dan butiran peribadi seseorang itu dengan imigresen. 

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara polis bantuan dan MAHB dalam membuat semakan mahupun membenarkan mereka melepasi pemeriksaan keselamatan untuk menaiki pesawat kerana mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Tambah sumber, imigresen boleh membuat semakan mengenai individu berkenaan sebaik tiba di lapangan terbang di Sabah atau Sarawak.

"Imigresen boleh mengeluarkan notis penolakan masuk (NTL) atau tindakan imigresen lain yang berkaitan sekiranya identiti individu itu didapati tidak sepadan," jelas sumber.

Pada Ahad, sebuah portal melaporkan seorang bapa kecewa dengan polis bantuan MAHB yang menyebabkan dia terpaksa mengambil risiko meninggalkan anak perempuannya keseorangan di KLIA2 tanpa pengawasan hampir sembilan jam.

Portal berkenaan melaporkan bapa kanak-kanak itu, Wan Fadillah Wan Ahmad telah menghubungi Pengarah Imigresen Sarawak, Ken Leben untuk membantu dengan kerjasama pegawai-pegawainya di KLIA2 namun usaha mereka gagal.

Wan Fadillah (kanan) bersama Batrisyia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada awal pagi Isnin.

Dalam pada itu, Ken Leben mengesahkan menerima panggilan daripada bapa kepada kanak-kanak berkenaan pada hari kejadian namun menjelaskan bahawa kawalan keselamatan sebelum menaiki pesawat adalah bidang kuasa MAHB. 

"Bapa kepada kanak-kanak itu ada menelefon saya. Saya minta pegawai imigresen Sarawak berhubung dengan pegawai MAHB di Kuching untuk berhubung dengan MAHB di KLIA2 bagi membantu. 

“Bagaimanapun pihak MAHB berpandukan SOP mereka dan masih tidak melepaskan pergerakan anak pengadu,” ujar Ken Leben menerusi aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Pada Isnin, MAHB dalam satu kenyataan berkata, walaupun memahami kesukaran yang dihadapi ibu bapa dan kanak-kanak terbabit, pihaknya tidak dapat berkompromi dalam hal ini kerana langkah-langkah sudah disediakan bagi keselamatan lapangan terbang untuk melindungi pintu masuk negara terhadap akses yang tidak selamat, untuk keselamatan individu serta syarikat penerbangan.

“Adalah menjadi tugas kami untuk memastikan semua pengembara mempunyai dokumen perjalanan sebelum mereka dibenarkan menaiki sebarang pesawat. 

“Kami memohon pemahaman orang awam mengenai peranan kami dalam melindungi keselamatan lapangan terbang," kata kenyataan itu dan menambah MAHB akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memperbaiki proses berkenaan.

Tags / Kata Kunci: KLIA2 , MAHB , Imigresen
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan