Terkandas 9 Jam: “Bukan Polis Bantuan, Orang Luar Yang Bantu” - Berita Semasa | mStar

Terkandas 9 Jam: “Bukan Polis Bantuan, Orang Luar Yang Bantu”

Diterbitkan: Selasa, 2 Januari 2018 7:40 PM

Wan Fadillah (kanan) bersama Batrisyia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada awal pagi Isnin.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang bapa kesal pihak yang diharap dapat membantu anaknya yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) hanya membiarkan sahaja kanak-kanak berusia 12 tahun itu dibantu oleh orang luar yang tiada pertalian darah.

Bercakap kepada mStar Online, Wan Fadillah Wan Ahmad, 37, mendakwa pegawai polis bantuan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) langsung tidak menawarkan bantuan atau perlindungan kepada anak perempuannya sementara dia pulang ke Kuching, Sarawak untuk mendapatkan pasport anaknya sebagai pengesahan.

Dalam insiden pada 31 Disember lalu, dia dan isterinya bersama tujuh anak termasuk anak perempuan berumur 12 tahun, Syarifah Nur Batrisyia yang tercicir MyKid serta ibu bapa mertuanya mahu pulang ke Kuching selepas bercuti di Kuala Lumpur sejak 27 Disember. 

“Kalau polis bantuan MAHB di KLIA2 menawarkan bantuan untuk menempatkan anak saya buat sementara sehingga saya mendapatkan pasport, sudah tentu saya akan tinggalkan anak saya dengan mereka.

“Saya akur dengan prosedur keselamatan yang dilaksanakan, tetapi mereka seharusnya membuat pertimbangan dari segi kemanusiaan, ke mana anak saya perlu ditempatkan ketika itu.

“Dalam keadaan yang panik dan tidak mahu terlepas penerbangan, polis bantuan seharusnya memberi kerjasama bagi memudahkan cara untuk saya menyelesaikan masalah,” katanya dengan nada kesal, Selasa.

MAHB pada Isnin menjelaskan bahawa kanak-kanak 12 tahun itu tidak ditinggalkan keseorangan di KLIA2 seperti yang dilaporkan dalam artikel sebuah portal.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak 12 Tahun Tak Keseorangan Di KLIA2 - MAHB

Sebaliknya, MAHB dalam kenyataannya berkata, berdasarkan rakaman kamera pengawasannya, kanak-kanak itu ditemani oleh satu pasangan dewasa dan meninggalkan lapangan terbang dengan menaiki kereta. 

Laporan berhubung kejadian membabitkan polis bantuan di KLIA2, yang tersebar di media sosial dan WhatsApp.

Bagaimanapun laporan pegawai bertugas kepada pengurusan MAHB yang kini tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp mendakwa anak pengadu bersama dua ahli keluarganya telah meninggalkan KLIA2.

Wan Fadillah menjelaskan bahawa sementara pemergiannya ke Kuching untuk mengambil pasport berkenaan pada hari yang sama, Batrisyia dijaga oleh rakan kepada ibu mertuanya yang datang ke KLIA2 untuk bertemu mereka sebelum berlepas.

Dia mengakui Batrisyia tidak dibiarkan keseorangan, sebaliknya dibawa pulang oleh pasangan suami isteri itu yang menetap di Putrajaya sepanjang tempoh tersebut.

“Kalau ikut laporan pegawai tersebut, dia mengatakan anak saya dibawa keluar oleh ahli keluarga, tapi mereka bukan ahli keluarga atau waris kami. Macam mana mereka pasti anak saya dijaga oleh ahli keluarga?,” soalnya.

Pada Ahad, sebuah portal melaporkan seorang bapa kecewa dengan polis bantuan MAHB yang menyebabkan dia terpaksa mengambil risiko meninggalkan anak perempuannya keseorangan di KLIA2 tanpa pengawasan hampir sembilan jam.

Jadual penerbangan yang lewat pada malam Ahad menyebabkan Wan Fadillah terpaksa menyambut Tahun Baharu di dalam penerbangan.

Wan Fadillah menjelaskan bahawa selain mendapat bantuan rakan ibu mertuanya untuk menjaga anaknya, dia juga tidak mahu membiarkan isterinya bersendirian mengendalikan enam lagi anaknya termasuk seorang anak berusia dua tahun serta faktor kesihatan ibu bapa mertuanya untuk terbang ke Kuching.

“Sebagai bapa, tidak tergamak untuk saya tinggalkan anak saya keseorangan. Dia baru 12 tahun dan perempuan pula tu. Tapi sebab keadaan panik dan tiada pilihan saya terpaksa lepaskan anak saya walaupun mereka hanya kenalan mertua saya. Saya terpaksa terbang ke Kuching untuk mendapatkan pasport anak saya dan tiba semula ke KLIA2 pada malam yang sama untuk membawanya pulang.

"Disebabkan kelewatan penerbangan, kami tiba di Kuching pada kira-kira 2.30 pagi Isnin. Kami sepatutnya menyambut ambang Tahun Baharu di Kuching bersama keluarga tetapi ketika itu saya dan anak dalam penerbangan. Ia merupakan sambutan Tahun Baharu yang cukup memilukan, menyedihkan, meletihkan dan menjengkelkan," katanya.

Menurut Wan Fadillah, kos penerbangan untuk membawa anaknya pulang termasuk tiket penerbangannya sendiri mencecah RM1,000.

Dilaporkan, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis di KLIA2 namun anaknya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan walaupun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dalam telefon bimbit dan salinan sijil surat beranak.

Tags / Kata Kunci: KLIA2 , polis bantuan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan