"Tidak Seindah Drama Winter Sonata" - Berita Semasa | mStar

"Tidak Seindah Drama Winter Sonata"

Diterbitkan: Isnin, 1 Januari 2018 4:10 PM

Afiq dimasukkan ke hospital selepas dua minggu menetap di rumah tamu yang menjadi tempat perlindungan pekerja asing di Korea Selatan.

(Ubah saiz teks)

LAPORAN KHAS

PETALING JAYA: Satu lagi kes melibatkan rakyat Malaysia berstatus buruh haram dikesan dan ia melibatkan pemuda berusia 22 tahun berkelulusan diploma dalam bidang marin yang sanggup memperjudikan nasib di Korea Selatan demi meraih pendapatan lumayan.

Namun tanpa diduga, anak muda yang dikenali sebagai Afiq serta graduan institusi pengajian tinggi swasta negara ini ditimpa kemalangan hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan ligamen yang serius pada lututnya.

Lebih malang lagi apabila dia tidak menerima rawatan perubatan yang sewajarnya dengan segera.

"Mula-mula majikan saya beritahu hospital tidak beroperasi disebabkan ketika itu cuti umum dan saya terpaksa menahan sakit selama seminggu.

"Kemudian, baru mereka bawa saya ke hospital untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Dakwanya lagi, pihak majikan sekali lagi menimbulkan masalah apabila memungkiri janji untuk membiayai kos pembedahan lutut Afiq yang mencecah KRW9 juta (RM33,737).

Pemuda itu mendakwa pada asalnya pihak majikan berjanji untuk menanggung semua kos perubatan termasuk pembedahan, namun berubah fikiran selepas mengetahui kos yang dikenakan terlalu tinggi.


Seorang lagi mangsa rakyat Malaysia membuat aduan di pejabat Kementerian Pekerjaan dan Buruh kerana tidak dibayar gaji.

"Mereka hanya menanggung bil pemeriksaan kesihatan dan ujian MRI, kemudian mereka meminta saya pulang ke Malaysia untuk jalani pembedahan dan kembali semula bekerja apabila sudah pulih.

"Saya yang tidak tahu hak sebagai seorang pekerja hanya menanggung sakit di rumah sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia. Hidup di sini tidak seindah drama Winter Sonata," katanya yang bekerja di Korea Selatan menggunakan visa pelancong.

Namun, nasib Afiq berubah apabila dia ditakdirkan berjumpa dengan seorang aktivis kemanusiaan yang juga seorang rakyat Malaysia, Z Hilmi di restoran Kampungku di Myeong-dong, Seoul, beberapa jam sebelum pulang ke Malaysia.

Aktivis tersebut menasihatkan agar Afiq membuka kes tuntutan ke atas majikan agar bertanggungjawab ke atas insiden yang menimpa dirinya.

Dalam tempoh dua minggu mangsa menetap di rumah tamu aktivis tersebut, dia dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan dan segala kos ditanggung pihak majikan.

"Kalau bukan kerana rezeki saya berjumpa dengan sukarelawan itu, saya tidak tahu sebenarnya kes saya boleh dilawan di pejabat buruh," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: kerja Korea Selatan , buruh haram , ACL
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan