Ku Nan OK Tun M Tanding Di Putrajaya - Berita Semasa | mStar

Ku Nan OK Tun M Tanding Di Putrajaya

Diterbitkan: Ahad, 31 Disember 2017 3:53 PM

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno 2013 di Menara Datuk Onn di sini hari ini. Bersamanya ialah Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh (kanan). -fotoBERNAMA
(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sesiapa sahaja boleh bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang  termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya, berkata Malaysia adalah negara demokrasi, justeru siapa sahaja boleh bertanding di mana-mana kawasan pada PRU ke-14 nanti termasuk mereka yang tidak mewakili parti politik.

"Ramai juga orang yang bertanding sebagai calon Bebas, jadi tiada masalah," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Program Jom Kembali ke Sekolah dan Jom Potong Rambut di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1) di sini, Ahad.

Program anjuran pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Putrajaya dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada kira-kira 400 pelajar.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan kemungkinan beliau akan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada PRU14 nanti.

Mengulas  mengenai ucapan Dr Mahathir pada mesyuarat agung parti itu semalam bahawa rakyat akan bebas bersuara jika Pakatan Harapan menang pada PRU14, Tengku Adnan berkata pembangkang gemar bermain dengan sentimen tersebut walaupun kebebasan bersuara telah wujud di negara ini.

"Dia sendiri pun bersuara setiap hari. Kita tahu pembangkang menggunakan sentimen ini untuk meracuni pemikiran rakyat," katanya.

Menurutnya PPBM juga harus membuktikan bahawa perjuangan yang dibawanya benar-benar untuk membela nasib rakyat dan bukan ditubuhkan atas dasar tidak puas hati seperti parti-parti serpihan  lain.

"Saya yakin rakyat akan sedar bahawa mereka ini seperti parti-parti serpihan yang ditubuhkan oleh kerana sakit hati, ego, dendam dan barangkali untuk mencapai matlamat yang tidak kesampaian," kata Tengku Adnan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Ku Nan , Tun M , PRU14 , parlimen Putrajaya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan