Dana Belum Cukup - Berita Semasa | mStar

Dana Belum Cukup

Diterbitkan: Ahad, 31 Disember 2017 8:48 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kakitangan awam dari Kedah, Mohd Radzi Abd Hadi,56, yang koma selepas mengalami serangan jantung di Amerika Syarikat (AS), 9 Disember lalu, masih memerlukan dana untuk melunaskan bil rawatan di Hospital Dignity Health, California yang mencecah hampir RM1 juta.

Anak keduanya, Tasnim Mohd Radzi berkata, kutipan dana yang diterima belum cukup untuk menampung bil rawatan.Setakat 29 Disember, kutipan dana daripada tiga akaun bank  RM79,912, iaitu RM38,947 (Bank Islam), RM35,965 (Maybank) dan RM5,000 (BSN).

“Kutipan diperoleh menerusi laman web Go Fund Me RM 43,092 (AS$10,055) dalam tempoh tujuh hari dilancarkan. Kami terima sumbangan daripada 350 insan yang prihatin daripada serata tempat,” katanya,

Menurutnya, walaupun jumlah keseluruhan yang berjaya dikutip RM122,912, jumlah itu masih rendah berbanding kos keseluruhan bil perubatan yang perlu dilangsaikan.

“Jumlah yang digunakan untuk membuat bayaran setakat 29 Disember, untuk ubat-ubatan diperlukan adalah RM3,442.28. Manakala invois yang diterima setakat 28 Disember daripada hospital adalah RM 798,916 (AS$196,062) selain daripada doktor RM268 (AS$66),” katanya.

Tasnim berkata, keluarganya berterima kasih atas keprihatinan penyumbang yang membantu walaupun tidak mengenali mereka.

“Buat masa ini, kami akan guna wang simpanan keluarga, dana kutipan dan sumbangan daripada kerajaan negeri untuk bayar kos doktor. Kami juga sedang berhubung dengan doktor yang merawat bapa saya untuk jelaskan situasi, di mana pesakit bukan penduduk tetap AS dan hanya mempunyai insurans perjalanan, bukan insurans kesihatan,” katanya.

Menurutnya, keluarga juga sedang berunding untuk dapatkan diskaun.Tasnim berkata, wang selebihnya akan digunakan bagi menyelesaikan hutang dengan pihak hospital.

“Kami harap hospital terima cadangan kami. Jika sebaliknya, kami terpaksa terus kutip sumbangan daripada orang ramai, menjual aset walaupun tidak mempunyai rumah atau kenderaan lebih untuk dijual, atau bersetuju dengan apa sahaja cadangan pihak hospital,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melunaskan bayaran doktor terlebih dahulu kerana ia lebih rendah berbanding bayaran hospital.

“Kami perlu kurangkan bilangan pemiutang bagi mengurangkan tindakan mahkamah,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, Mohd Radzi bersama keluarganya tiba di lapangan terbang Los Angeles untuk menziarahi anak sulung dan menantu, serta dua cucu.

Bagaimana pun, selepas berkunjung ke beberapa tempat sekitar Los Angeles, Mohd Radzi mengalami serangan jantung ketika keluarga itu dalam perjalanan dari Santa Monica ke Arizona.- Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Serangan Jantung , Los Angeles , Dana
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan