KP Kesihatan Dilantik Jadi Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global - Berita Semasa | mStar

KP Kesihatan Dilantik Jadi Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global

Diterbitkan: Rabu, 27 Disember 2017 4:33 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) dilantik  sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global Persatuan Pembedahan Sedunia (ISS) bagi penggal 2017-2021.

ISS mengumumkan perkara itu pada 25 Dis.

Dalam kenyataan di sini pada Rabu, Dr Noor Hisham berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada tugas beliau sebagai Konsul Tugas Khas Jawatankuasa Eksekutif ISS.

Dr Noor Hisham dilantik menganggotai Lembaga Eksekutif ISS sebagai Konsul Tugas Khas bagi tempoh 2017 hingga 2021 seperti  diumumkan pada 17 Ogos tahun ini pada Perhimpunan Agung Kongres Pembedahan Sedunia Ke-47.

“Inilah julung kalinya rakyat Malaysia mendapat pengiktirafan itu di peringkat ini, sekali gus merupakan satu lagi penghormatan bagi negara kita untuk menerajui dan memberi khidmat kepada persatuan global terkenal ini,” katanya.

Berhubung pelantikan beliau sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global ISS, Dr Noor Hisham berkata: “Dengan penuh syukur dan rendah hati, saya terima peranan sebagai pemimpin peringkat global ini untuk berganding bahu dengan semua cawangan dan wakil dari negara masing-masing untuk menyediakan rangka kerja program pengajaran dan latihan, khususnya di negara membangun, di samping menambah baik organisasi ini dalam menyesuaikan diri dengan perubahan berpandukan idea kreatif dan inovasi.

“Peranan ini juga akan menonjolkan ISS sebagai sebuah organisasai global yang membawa  kemajuan dalam  bidang pembedahan ke arah mewujudkan penjagaan berkualiti dan memberi fokus terhadap keselamatan pesakit,” katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Noor Hisham Abdullah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan