Perkhidmatan Aerotrain KLIA Dihentikan Untuk Penyenggaraan - Berita Semasa | mStar

Perkhidmatan Aerotrain KLIA Dihentikan Untuk Penyenggaraan

Diterbitkan: Isnin, 25 Disember 2017 1:00 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dihentikan untuk kerja-kerja penyenggaraan luar jadual yang perlu dilaksanakan, kata operatornya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut paparan laman sosial Facebook rasminya,  MAHB berkata susulan itu pihaknya mengaktifkan perkhidmatan bas bagi mengangkut penumpang  di antara  terminal utama dan bangunan satelit menggunakan 16 buah bas yang disediakan.

"KLIA mengendalikan pergerakan penumpang dalam volum yang tinggi dari 8 pagi hingga 8 malam  ini dengan tren terpaksa membawa kira-kira 95,000 penumpang bagi tempoh itu.

"Disebabkan kapasiti yang tinggi ini, tren terpaksa disenggara bagi memastikan kesinambunagn perkhidmatan," kata MAHB.

Dilaporkan perkhidmatan aerotrain di KLIA tergendala menyebabkan ratusan penumpang terpaksa menaiki bas untuk bergerak di antara bangunan terminal utama dan bangunan satelit.

Beberapa rakaman video dan gambar dihantar kepada media yang menunjukkan pintu masuk ke tren direkat dengan pita yang tertulis ‘Maintenance in Progress' (kerja penyenggaraan sedang dijalankan).

Menurut MAHB, pasukan kejuruteraan sedang berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan kerja-kerja penyenggaraan itu secepat mungkin dan penumpang akan dimaklumkan sebaik sahaja perkhidmatan tren bersambung semula.

Pada masa sama  MAHB menasihati penumpang  agar terus ke ruang menunggu bas bagi mendapatkan bantuan staf untuk meneruskan perjalanan mereka.

Ini kali ketiga perkhidmatan tren itu tergendala untuk tahun ini.

Pada September lalu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali dilaporkan berkata dua tren yang beroperasi sejak hampir 20 tahun lalu akan dihantar untuk penyenggaraan utama pada akhir tahun ini. -Bernama

Tags / Kata Kunci: aerotrain , KLIA
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan