Bantuan Yang Mampu Mengubah Kehidupan - Berita Semasa | mStar

Bantuan Yang Mampu Mengubah Kehidupan

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 9:00 AM

Pengurus Kanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Cawangan Besut Yusniwati Yusof (kiri) menyerahkan penyata baki hutang kepada Mohd Afez A Rahman, 26, selepas membayar baki pinjaman pendidikan itu berjumlah RM4,719.18 di kaunter PTPTN Cawangan Besut, baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

TIADA pelajar yang patut dibiarkan berada dalam kesusahan. Itulah matlamat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTPN) sejak penubuhannya dua dekad lalu.

Seperti yang dinyatakan menerusi laman web rasmi PTPTN, ia sentiasa berusaha untuk menyediakan pinjaman kepada pelajar yang kurang berkemampuan supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Misi ini selaras dengan apa yang dinyatakan salah seorang pengasas Amerika Syarikat, Benjamin Franklin yang wajahnya boleh dilihat pada wang kertas negara itu.

Katanya, pelaburan untuk ilmu pengetahuan membawa pulangan yang paling lumayan.

Peranan yang dimainkan PTPTN sememangnya memberi impak terutama kepada keluarga berpendapatan sederhana.

Misalnya keluarga Jordan Chin di Melaka. Tiga beradik dalam keluarga itu telah menamatkan pengajian tinggi mereka dengan bantuan PTPTN.

"Ianya satu bantuan yang cukup besar," ujar Jordan yang baru sahaja memperoleh ijazah dalam bidang perubatan dari Universiti Malaya pada Oktober lalu.

Jordan, anak ketiga dari lima beradik memaklumkan kakak dan abangnya juga menerima manfaat dari PTPTN, di mana kakaknya belajar dalam bidang pergigian manakala abangnya menyambung pengajian ke fakulti perubatan.

Bapanya yang berusia 60 tahun adalah seorang petani, manakala ibunya hanyalah suri rumah.

Jordan, 24, kini sedang menunggu keputusan di mana dia akan dihantar bertugas.

Katanya, pengumuman kerajaan menerusi Bajet 2018 untuk memanjangkan tempoh potongan pembayaran pinjaman itu membuktikan kesanggupan PTPTN membantu golongan memerlukan sepertinya.

Antara aspek yang diberi fokus menerusi Bajet 2017 ialah:

*Potongan 20 peratus untuk tunggakan hutang (bayaran penuh)

*Potongan 10 peratus untuk pembayaran semula sekurang-kurangnya 50 peratus hutang menerusi satu pembayaran dan 10 peratus potongan untuk mereka yang membuat bayaran balik menerusi potongan gaji atau debit terus berjadual.

*Tempoh pembayaran semula pinjaman dipanjangkan daripada enam bulan kepada 12 bulan selepas tamat pengajian.

Ujar Jordan, peminjam harus sentiasa ingat untuk membayar pinjaman mengikut ketetapan yang sudah dibuat.

"Mereka perlu membuat pelan untuk pembayaran semula. Sekarang kos sara hidup tinggi. Apabila sudah bekerja, kita mesti buat satu pelan khas," katanya.

Tambahnya, potongan yang ditawarkan menerusi Bajet 2018 boleh diibaratkan seperti satu manfaat untuk orang sepertinya.

Jika diimbau kembali, dia merasakan ia pastinya sukar sepanjang lima tahun pengajian tanpa pinjaman sebanyak RM35,000 dari PTPTN.

Dengan adanya pinjaman itu, Jordan menggunakannya untuk membayar yuran pengajian, tempat tinggal dan keperluan lain.

Bukan sahaja PTPTN, malah baucer buku yang diperuntukkan oleh kerajaan juga sangat memberi manfaat kepadanya.

Menerusi Bajet 2018, kerajaan turut memperuntukkan baucer buku bernilai RM250 untuk pelajar tingkatan enam dan pelajar di insitusi pengajian tinggi.

Baucer itu dijangka memberi manfaat untuk 1.2 juta pelajar di negara ini.

Sementara itu, guru, Nor Elaiza Mohd Radzuan menyifatkan potongan yang diberikan oleh kerajaan bagaikan satu galakan untuk peminjam membayar semula pinjaman mereka.

Wanita berusia 39 tahun itu yang menamatkan pengajian dalam bidang sains komputer Universiti Putra Malaysia pada 2001 mengambil masa selama 15 tahun untuk melangsaikan pinjaman.

Katanya, pembayaran yang dibuat menerusi potongan gaji setiap bulan itu telah berakhir tahun ini.

Menurutnya lagi, suami dan salah seorang adik beradiknya juga merupakan peminjam PTPTN.

Dilahirkan di Terengganu, Eliza merupakan anak sulung dan mempunyai dua adik lelaki dan tiga saudara perempuan.

Kedua ibu bapanya telah bersara di mana bapanya pernah menjadi pengurus, manakala ibunya pesara guru.

"Meminjam memang senang, tapi kena fikir juga untuk membayar semula. Kalau tidak, kita akan dihalang untuk ke luar negara dan tidak boleh membuat pinjaman lain," kata Eliza.

Seorang lagi penerima PTPTN yang mahu dikenali sebagai Ryhan pula mengambil program Diploma Hiasan Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan ijazah multimedia kreatif di Universiti Multimedia.

Ryhan, 37, juga adalah graduan Ijazah Sarjana Animasi Komputer  di Wangunui School of Design, New Zealand.

Ibu kepada empat anak itu setakat ini telah melangsaikan pinjaman sebanyak RM10,000 yang diperolehnya pada 1997.

Setakat ini, ada berbaki RM40,000 (1998 hingga 2003) yang mana dia masih membayarnya menerusi potongan gaji bulanan.

Dia yang lahir di Kuala Lumpur merupakan anak kepada penjawat awam. Bapanya bertugas sebagai pegawai kastam, manakala ibunya seorang kerani.

"Jika tiada PTPTN, mungkin ibu bapa saya perlu membuat pinjaman bank untuk menanggung pengajian saya.

"Pengumuman terbaharu kerajaan mengenai potongan 10 peratus bayaran semula yang dibuat menerusi potongan gaji atau debit terus berjadual pastinya memberi manfaat buat saya," katanya.

Ryhan mengakui PTPTN telah memberi manfaat buat ramai pelajar namun mengingatkan mereka supaya merangka strategi untuk pembayaran semula.

"Mungkin juga perlu ada pilihan pinjaman lain untuk pelajar menyambung pengajian," katanya lagi.

Tags / Kata Kunci: PTPTN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan