Kaedah Murni PTPTN Ringankan Beban Pelajar Memerlukan - Berita Semasa | mStar

Kaedah Murni PTPTN Ringankan Beban Pelajar Memerlukan

Diterbitkan: Rabu, 20 Disember 2017 9:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANGGAL 1 November 1997. Tarikh yang cukup bermakna dan memberi harapan kepada anak muda Malaysia untuk menggapai segulung ijazah dan memakai topi mortar.

Tarikh itu merupakan permulaan kepada operasi Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan pinjaman kepada pelajar yang tidak berkemampuan.

Objektif PTPTN sangat jelas. Badan itu mahu membantu pelajar yang mendapat tawaran pengajian peringkat tinggi tetapi tidak mampu untuk menyambung pengajian mereka.

Ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada pelajar tercicir dan berpeluang melanjutkan pengajian hanya kerana kekangan kewangan.

Sejak dua dekad lalu, PTPTN telah memenuhi impian hampir 2.6 juta anak bangsa negara ini.

Pada Mac lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Marry Kay Yap memberitahu Dewan Rakyat bahawa 2,668,966 pelajar telah memperoleh pinjaman PTPTN yang berjumlah RM49.65 bilion semenjak penubuhannya.

Daripada jumlah itu, 42,904 peminjam dengan jumlah RM1.72 bilion dikecualikan dari bayaran semula kerana keputusan pengajian yang cemerlang.

Menerusi ucapan Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan potongan 15 peratus kepada mereka yang membayar jumlah tunggakan serentak.

Mereka yang melangsaikan sekurang-kurangnya 50 peratus pinjaman secara sekali gus juga akan mendapat potongan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Menerusi Bajet 2018 pula, potongan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan ternyata jauh lebih baik.

Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan potongan sebanyak 20 peratus untuk mereka yang menyelesaikan tunggakan pinjaman secara sekali gus.

Menurut laman web PTPTN (www.ptptn.gov.my), potongan 20 peratus ini turut terpakai kepada peminjam yang telah dikenakan tindakan undang-undang.

Mereka yang melangsaikan pinjaman bermula 27 Oktober lalu sehingga 31 Disember 2018 juga layak menerima potongan itu.

PTPTN juga membuat pelbagai promosi bagi menggalakkan ibu bapa menabung bagi tabung pengajian tinggi anak mereka menerusi akaun SSPN-i plus.

Baru-baru ini, pihak PTPTN melawat hospital dan menggalakkan ibu bapa mula menabung bermula seawal kelahiran bayi mereka.

Ibu bapa atau penjaga yang membuka akaun SSPN-i plus juga layak menerima pelepasan cukai sehingga RM12,000.

Untuk menggalakkan lagi tabungan pendidikan, RM500 akan diberikan kepada 500,000 kanak-kanak terawal berusia tujuh hingga 12 apabila ibu bapa mereka mendepositkan RM500 dalam akaun SSPN-i.

Ini merupakan antara pilihan yang disediakan untuk rakyat Malaysia yang mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi.

PTPTPN pula, terus menjalankan fungsinya untuk memberi pinjaman pendidikan yang pastinya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Tags / Kata Kunci: PTPTN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan