‘Cawat Ummi’ Ganti Seluar Dalam Wanita Rohingya - Berita Semasa | mStar

‘Cawat Ummi’ Ganti Seluar Dalam Wanita Rohingya

Diterbitkan: Ahad, 17 Disember 2017 11:07 AM

Pelarian wanita berstatus ibu tunggal di Asean Village, Kem Balukhali, Cox's Bazar, Bangladesh perlu dibantu dengan cara memberi pancit, bukannya memberi ikan.

(Ubah saiz teks)

COX'S BAZAR, BANGLADESH: Jika wanita di Malaysia waima seluruh dunia, mempunyai tuala wanita untuk digunakan setiap kali datang bulan, berbeza dengan pelarian wanita Rohingya di Kem Balukhali, di sini, yang hidup berlumuran darah kotor sekurang-kurangnya empat ke lima hari sebulan.

Bukannya tiada sumbangan tuala wanita buat mereka, tetapi menjadi masalah utama kerana pelarian wanita di sini tidak pakai seluar dalam!

Mengambil kira situasi itu, satu projek menjahit seluar dalam dengan fungsi seperti cawat untuk memudahkan pemakaian tuala wanita diilhamkan di bawah Program SINAR4ROHINGYA, kelolaan Sinar Harian.

Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia, Rosfazilah Mohd Noor, berkata, kesedaran pelarian wanita dalam menitikberatkan perkara itu amat rendah.

"Bayangkan mereka boleh hidup dengan keadaan begitu. Bukan hanya wanita datang bulan,wanita baru bersalin juga memerlukan untuk darah nifas.

"Tidak guna ada banyak sumbangan tuala wanita tetapi mereka tak boleh guna kerana tak ada seluar dalam,"katanya.

Mengulas lanjut, Rosfazilah yang lebih mesra dengan panggilan ummi di kem itu, berkata, projek itu menjadi antara usaha pembangunan kehidupan pelarian wanita di situ.

"Pasti ramai berkata-kata sinis mengapa tidak diberi sahaja seluar dalam percuma. Jika begitu, sampai bila-bila pun mereka hanya 'disuap'. Dengan projek ini kita ajar mereka untuk jadi pembekal cawat ini untuk wanita lain senasib mereka,"katanya.

Projek berkenaan antara lain memberi tumpuan penglibatan ibu-ibu tunggal di Asean Village, iaitu penempatan yang diwujudkan hasil sumbangan orang ramai untuk tabung SINAR4ROHINGYA.

Jadi teruskan sumbangan anda agar lebih banyak inisiatif boleh dilaksanakan demi kehidupan mereka yang lebih baik meskipun hidup berlangitkan negara orang. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: cawat ummie , Rohingya
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan