Ke Arah Memperkasa Wanita

Diterbitkan: Jumaat, 15 Disember 2017 8:30 AM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

MENGIMBANGI antara keluarga dan kerjaya adalah satu tugas yang sukar untuk semua. Bagi wanita khususnya yang bergelar ibu, kerjaya dan keluarga adalah satu tanggungjawab yang memberi tekanan dan membuat mereka keletihan dari segi fizikal, mental dan emosi.

Menjadi satu kebiasaan untuk bimbang mengenai hal ehwal rumahtangga. Namun bagi sesetengah ibu, kegusaran berterusan terhadap kebajikan dan keselamatan anak semasa tidak bersama mereka ada kalanya boleh mengganggu prestasi kerja.

Untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan produktiviti, kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi Bajet 2018 yang memberi manfaat kepada wanita dalam sektor awam dan swasta.

Salah satu inisiatif adalah penambahan jumlah cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari dalam sektor swasta, dan jumlah cuti bersalin dari 300 kepada 360 hari, dengan maksimum 90 hari setahun bagi sektor awam.

"Saya mengalu-alukan cadangan cuti bersalin 90 hari untuk sektor swasta. Saya juga bersyukur kerana tempat kerja saya merupakan antara yang pertama di Malaysia yang mempelopori inisiatif ini beberapa tahun lalu," ujar Michella-Ann Iking yang bekerja dalam sektor kewangan.

Iking, 41, ibu kepada seorang anak perempuan berkata, bergelar ibu atau bapa adalah satu perubahan besar dalam hidup dan ia mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

"Saya bersukur diberi ruang tambahan untuk bernafas apabila menjadi ibu," ujar Iking.

Aishah Badrul, 29, yang kini hamil lima bulan anak kedua juga gembira dia kini diberi lebih masa untuk fokus pada keluarga selepas bersalin April nanti.

"Sewaktu melahirkan anak pertama, saya kepenatan sebab tidak dibantu sesiapa selain suami sahaja. Cuti 60 hari terlalu cepat untuk saya.

"Bukan senang untuk kembali dengan rentak lama selepas 60 hari bercuti. Dengan tambahan 30 hari lagi, bolehlah saya sesuaikan diri kepada situasi asal," ujar Aishah yang bekerja di firma perundangan.

Kumpulan wanita seperti Pertubuhan Kebajikan Wanita (WAO) turut mengalu-alukan peningkatan jumlah cuti bersalin dan berharap agar cuti itu turut diperluas kepada golongan bapa agar kedua-dua pasangan sama-sama memainkan peranan dalam menjaga anak.

Iking yang bersetuju dengan sentimen itu bagaimanapun berkata, sangat penting untuk mengubah pemikiran masyarakat mengenai peranan lelaki dalam isu berkenaan.

"Saya yakin, kalau wanita boleh dibri jawatan penting dalam bidang profesional, kenapa lelaki tidak boleh buat kerja domestik seperti pasangan mereka?

"Isi rumah yang progresif, kaum lelaki berkongsi 50 peratus tugas domestik, wanita juga yang pastinya terpaksa bekerja lebih melibatkan tanggungjawab membeli barang dapur, temu janji doktor dan keperluan persekolahan anak-anak.

"Memang wanita yang menanggung beban pengurusan isi rumah, wanita bekerja lebih dari apa yang mereka patut bekerja secara profesional dan peribadi. Namun, saya bernasib baik dengan pasangan saya," kata Iking.

Berdasarkan Bajet 2018, semua bangunan pejabat mesti mempunyai pusat jagaan kanak-kanak untuk pekerja mereka.

Ini sangat penting kerana salah satu sebab wanita tidak kembali bekerja selepas bersalin ialah ketiadaan pusat jagaan yang berdekatan dengan tempat kerja mereka.

Malah, tidak semua pasangan mampu mengupah pengasuh untuk menjaga anak mereka.

"Satu isu kritikal sewaktu saya mahu kembali bekerja ialah penjagaan anak. Nasib baik saya ditemukan dengan penjaga yang boleh diharapkan berdekatan tempat kerja saya.

Aishah pula meminta jirannya untuk menjaga anak. Namun, dia juga berharap agar menemui pusat jagaan yang boleh dipercayai untuk anaknya pada tahun hadapan.

"Sudah tentu saya percaya jiran saya. Tapi rasa tak selesa pula dengan keluarga mereka. Harapnya nanti saya menemui pusat jagaan yang berdekatan tempat kerja saya atau suami," kata Aishah.

Tahun 2018 telah dinamakan sebagai Tahun Pemerkasaan Wanita. Jadi, kerajaan kini menggalakkan agar wanita kembali berkerja semula.

Untuk memastikan perkara ini dapat dijalankan, kerajaan akan memberi pengecualian cukai selama 12 bulan kepada wanita yang bekerja semula selepas berhenti selama dua tahun (maksimum).

Kerajaan bukan sahaja menggalakkan wanita untuk terus bekerja malah mahu mereka pergi jauh dalam kerjaya yang diceburi.

Kerajaan juga mempertuntukkan RM20 juta untuk P.E.A.K (Performance.Empowerment.Acceleration.Knowledge) iaitu program latihan dan keusahawanan wanita selama enam bulan yang ditaja sepenuhnya oleh myWIN.

MyWIN adalah satu institusi yang diperkenalkan oleh Jabatan Perdana Menteri bagi pemerkasaan wanita dalam kepimpinan dan keusahawanan menerusi pendidikan dan latihan.

Usahawan wanita berusia 20 dan 35 tahun berpeluang menerima manfaat program P.E.A.K yang mengajar mereka bukan sahaja menjadi pemimpin, malah memahami keperluan dalam perniagaan yang inovatif untuk ekonomi hari ini.

Turut dibentangkan dalam Bajet 2018 ialah perlunya minimum 30 peratus penyertaan wanita dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) serta badan berkanun di Malaysia menjelang penghujung 2018.

WAO juga percaya dengan adanya lebih ramai wanita dalam tampuk kepimpinan, ia dapat meningkatkan lagi prestasi syarikat.

Seperti yang dinyatakan dalam artikel oleh Kajian Semula Perniagaan Harvard, penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat dari sifar sehingga 30 peratus selain peningkatan 15 peratus keuntungan untuk firma biasa.

"Pendapat yang mengatakan tidak ada ramai wanita berkelayakan seringkali dijadikan alasan mengapa tidak ramai kaum itu dalam sesebuah kepimpinan.

"Sebenarnya ada ramai wanita yang layak, namum pencapaian dan kemampuan mereka sering terlepas pandang kerana diskriminasi jantina," ujar Pengarah Komunikasi WAO, Tan Heang Lee.

Tambahnya lagi, isu diskriminasi jantina di tempat kerja juga perlu diberi perhatian.

Berdasarkan tinjauan oleh WAO pada 2016, kumpulan itu mendapati terdapat 40 peratus wanita mengandung menghadapi diskriminasi di tempat kerja.

"Mereka dipecat, tidak dinaikkan pangkat atau tidak diambil bekerja setelah memaklumkan kehamilan mereka.

"Malangnya, kita tidak ada undang-undang khusus untuk menangani isu ini dalam sektor swasta.

Pada November 2016, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan Parlimen kini sedang merangka satu akta melibatkan kesaksamaan jantina di Malaysia.

Menurut Heang Lee, pihaknya dan kumpulan-kumpulan wanita lain juga sedang bekerjasama dengan kementerian untuk membuat draf proposal akta berkenaan.

"Kami harap agar akta ini akan menjadi satu realiti tidak lama lagi," katanya.

Tags / Kata Kunci: WAO , Iking , Bajet 2018

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan