Jimat 90 Peratus Kos Ambil Pembantu Rumah

Diterbitkan: Jumaat, 15 Disember 2017 7:40 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Majikan boleh berjimat lebih 90 peratus dalam pengambilan pembantu rumah asing secara dalam talian mulai 1 Januari depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebelum ini, majikan perlu membayar hingga RM18,000 tetapi kini mereka hanya membayar RM1,635 kepada kerajaan melalui Jabatan Imigresen.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jumlah itu adalah kos bagi pengambilan pembantu rumah dan tidak termasuk kos penerbangan dan pasport.

“Kerajaan mengambil langkah pengurangan termasuk mengurangkan kadar wang cagaran dari RM1,000 kepada RM500 dan wang proses dari RM500 kepada RM250.

“Ini bererti kerajaan mengambil langkah proaktif agar sebarang pembayaran pengambilan terus pembantu rumah asing dapat dikurangkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini, Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.

Ahmad Zahid berkata dalam mesyuarat itu, satu kaedah diperincikan melibatkan pengambilan pembantu rumah asing hanya dari Indonesia dan Filipina susulan kekangan dan perundangan dua negara itu.

“Oleh itu, majikan tidak diizinkan mengambil terus pembantu rumah asing tetapi perlu melalui syarikat berdaftar dengan Kementerian Tenaga Kerja atau Buruh di negara berkenaan.

“Kita kena mematuhi perundangan Indonesia dan Filipina dan berharap majikan akan memohon melalui syarikat serta mendapatkan nama-nama bakal pembantu untuk dikemukakan permohonan atas talian,” katanya.

Namun, majikan boleh mengambil terus pembantu rumah asing dari tujuh negara sumber lain.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat itu juga memutuskan bahawa pembantu rumah asing perlu menjalani saringan kesihatan tambahan mulai 1 Januari ini.

Saringan kesihatan itu akan dilaksanakan sebelum pekerja asing berlepas dari negara asal, sebulan selepas ketibaan di Malaysia, pada akhir tahun pertama, akhir tahun kedua dan setiap dua tahun selagi pekerja asing tersebut digajikan di Malaysia.

“Saringan kesihatan tambahan ini perlu dilakukan bagi memastikan laporan yang dibuat di negara asal adalah sama di sini bagi menghalang penipuan.

“Bayaran saringan kesihatan tambahan adalah RM190 untuk wanita dan RM180 untuk lelaki,” katanya.

Beliau berkata bilangan pekerja asing yang sah di negara ini sudah berkurangan kepada 1.785 juta orang sehingga 30 November lalu berbanding 2.135 juta orang pada 2015. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: pembantu rumah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan