SPRM Akan Terus Dakwa Satu Kes Tiap Minggu

Diterbitkan: Khamis, 14 Disember 2017 9:45 PM

Dzulkifli Ahmad

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan pendekatan untuk mendakwa satu kes rasuah setiap minggu akan diteruskan tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pendekatan itu akan diteruskan bagi memberi keyakinan kepada masyarakat akan kesungguhan mereka dalam mendepani gejala rasuah.

"Pada tahun ini pun kita berjanji untuk sekurang-kurangnya membawa satu kes rasuah ke muka pengadilan setiap minggu.

"SPRM komited dan mahu meneruskan azam itu pada tahun hadapan bagi memastikan negara ini bebas dari rasuah dan salah guna kuasa," ujar Dzulkfli.

Beliau berkata demikian sewaktu Malam Apresiasi Media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada Khamis.

Dalam pada itu, Dzulkifli mendedahkan kempen Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) yang dilancarkan pada Ogos lalu kini mempunyai lebih 140,000 keahlian di seluruh negara.

"Ini jelas menunjukkan sokongan padu masyarakat terhadap SPRM. Dalam empat bulan sahaja sudah ramai yang mendaftar.

"Kejayaan ini juga seolah-olah menunjukkan masyarakat percaya dan mahu sama-sama membanteras rasuah bersama kami," katanya.

Sementara itu, Dzulkifli turut menzahirkan penghargaan beliau kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai atas ideanya untuk kempen 3J (Jangan hulur, Jangan kawtim, Jangan settle).

Menurutnya, idea berkenaan diceruskan Chun Wai sewaktu lawatannya ke Kumpulan Media Star.

"Peranan media sangat penting untuk SPRM. Tanpa idea-idea dan sokongan media, aspirasi kami tidak akan sampai kepada masyarakat.

"Jadi, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pengamal media yang banyak membantu SPRM selama ini," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan