Dewan Negara Lulus Lima Rang Undang-Undang

Diterbitkan: Khamis, 14 Disember 2017 7:33 PM

Othman Aziz

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan lima rang undang-undang (RUU) iaitu RUU Kewangan (No.2) 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2017, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan RUU Timbang Tara (Pindaan) 2017.

Rang Undang-Undang Kewangan (No.2) 2017 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz bertujuan bagi meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Akta Kewangan 2013.

RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2017 dan RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017 pula bertujuan mengadakan pertukaran maklumat berkaitan percukaian secara automatik antara kerajaan dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), kata Othman.

Othman berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu dicadang bermula tahun depan.Rang Undang-Undang Kewangan 2017 adalah bagi meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Akta Kewangan 2013 untuk membolehkan pelaksanaan langkah percukaian yang diumumkan dalam Bajet 2018 di samping melaksanakan keputusan Kerajaan berkenaan penambahbaikan pentadbiran cukai, katanya.

Sementara itu, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia bertujuan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B yang memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

RUU Timbang Tara (Pindaan) 2017) pula dilakukan antara lain bagi menggubal Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) bertujuan untuk menukarkan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) dalam mewujudkan platform yang kukuh untuk menjadikan Malaysia peneraju pusat penyelesaian pertikaian alternatif di persada antarabangsa.

Sementara itu, Azalina dalam kenyataan berkata pindaan yang diluluskan itu perlu dilihat sebagai suatu permulaan yang positif dan selaras dengan keperluan semasa.

"RUU ini diperkenalkan sebagai strategi baharu dalam agenda kerajaan untuk memerangi dadah yang dianggap sebagai musuh utama negara. Sehubungan itu, dalam memastikan keberkesanan RUU ini, semua pihak perlu bekerjasama secara kolektif dalam membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Pindaan RUU ini juga menunjukkan keterbukaan kerajaan dalam mengambil keputusan yang progresif demi kemaslahatan umum," katanya.Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin depan (18 Disember).- Bernama

Tags / Kata Kunci: Dewan Negara , Rang Undang-Undang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan