Maraton Klang: Pesuruhjaya Sukan Belum Lapor Polis - Berita Semasa | mStar

Maraton Klang: Pesuruhjaya Sukan Belum Lapor Polis

Diterbitkan: Selasa, 12 Disember 2017 3:36 PM

Ang (kanan) masih dalam keadaan kritikal dan ketika ini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman masih belum membuat laporan polis terhadap penganjur maraton berhubung insiden kemalangan melibatkan tiga pelari yang dilanggar sebuah kereta, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis belum menerima laporan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia mengenai perkara itu.

"Bila mereka buat laporan, kita akan siasat kes itu dari semua sudut," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mazlan memberitahu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai memandu secara cuai di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan.

Dilaporkan bahawa penganjur Maraton Antarabangsa Bandar Klang 2017 bakal berdepan dengan tindakan pihak berkuasa selepas meneruskan acara itu tanpa mendapat persetujuan dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Dalam kejadian itu, peserta acara berkenaan, Evelyn Ang, 44, dilaporkan masih dalam keadaan kritikal selepas dirempuh kereta dan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan serius di kepala.

Terdahulu, Zaiton berkata, semua acara sukan di negara ini perlu mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Beliau berkata, tiada permohonan lesen diterima daripada penganjur.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan