Istana Selangor Batal Kurniaan Pingat Kebesaran Tun M, Isteri

Diterbitkan: Selasa, 12 Disember 2017 10:52 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Istana Selangor mengesahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali telah memulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada mereka.

Dewan Diraja Selangor dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah telah memulangkan pingat kebesaran itu pada 7 Disember lalu.

"Adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut daripada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah tanpa halangan.

"Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang telah ditetapkan," kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais.

Pada Isnin, dilaporkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah telah menyerahkan pingat kebesaran yang dianugerahkan menerusi pegawai kanan  Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima dua pingat iaitu pada 1978 dan 2003.

Salah satu daripadanya adalah Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) (Kelas Pertama).

Dr Mahathir yang kini berusia 93 tahun dilaporkan berkata, perhimpunan Pakatan Harapan pada Oktober lalu bahawa rakyat Malaysia dipimpin perdana menteri berketurunan lanun Bugis.

Kenyataannya telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk Istana Johor dan komuniti Bugis di Indonesia.

Malahan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga murka atas kenyataan Dr Mahathir.


Tags / Kata Kunci: Istana Selangor , Mahathir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan