Kebocoran Data 2014 - Jailani - Berita Semasa | mStar

Kebocoran Data 2014 - Jailani

Diterbitkan: Selasa, 12 Disember 2017 1:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih yang dilaporkan pada 18 Oktober lepas adalah melibatkan data pada 2014 dan bukannya data terkini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan Seksyen 130, Akta Pelindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

"Masih terlalu awal untuk disimpulkan dalang di sebalik insiden yang berlaku. Pihak polis telah memanggil saksi-saksi yang dikenal pasti untuk diambil keterangan.

"Antara saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan ialah pengendali laman web lowyat.net, jobstreet.my, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)  dan mana-mana individu yang dipercayai dapat membantu siasatan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, Selasa.

Beliau menjawab solan Senator S. Chandra Mohan yang ingin tahu hasil siasatan insiden kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih baru-baru ini.

Jailani berkata SKMM juga telah menghubungi setiap syarikat telco mengenai kejadian itu dan telah mengarahkan supaya memeriksa setiap transaksi sistem bagi memastikan tiada penggodaman atau kebocoran maklumat berlaku.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Jailani , telco

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan