Murah Rezeki Kakak Hello Kitty

Diterbitkan: Isnin, 11 Disember 2017 3:42 PM

Afina menerima tawaran berlakon dalam klip video muzik berinspirasikan Hello Kitty. Foto ihsan Afina

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penangan tular baju berinspirasikan Hello Kitty terus menjadi tuah buat usahawan kosmetik ini apabila ditawarkan muncul dalam sebuah klip video muzik.

Selepas koleksi enam baju watak kartun popular itu terjual dengan harga RM50,000, usahawan yang lebih dikenali sebagai Kakak Hello Kitty ini telah menonjolkan bakat dalam lakonan dan tarian menerusi video berkenaan.

Yus Amina Mohd Zawizah, 27, berkata, beliau mendapat tawaran itu daripada sebuah syarikat produksi tempatan dan pembikinan video yang turut melibatkan suami dan anaknya telah bermula sejak Oktober lalu.

Di sebalik penggambaran klip video muzik.

Katanya, tawaran itu dibuat selepas kisah baju Hello Kitty miliknya menjadi tular yang mampu menarik perhatian peminat watak kartun Jepun itu.

“Klip video ini berkonsepkan Hello Kitty menggunakan lagu tema kartun ini. Sepanjang pembikinannya, kami sekeluarga perlu memakai baju Hello Kitty.

“Bukan itu sahaja, malah hampir kesemua ‘props’ juga berinsipirasikan Hello Kitty kepunyaan peribadi kami,” katanya kepada mStar Online.

Namun disebabkan jadual kerja suami yang padat, Yus Amina atau lebih dikenali sebagai Afina berkata, video tersebut baru selesai penggambarannya pada Sabtu lalu.

Beliau menambah, penggambaran dilakukan di sekitar Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur termasuk di pejabat dan kediamannya di kawasan berdekatan.

Klip video muzik turut melibatkan suami dan anak perempuan Afina.

Afina bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai nilai tawaran untuk terlibat dalam klip video tersebut bersama keluarganya.

“Apa yang lebih penting adalah klip video ini akan menjadi satu kenangan kepada kami sekeluarga yang begitu dikenali dengan baju Hello Kitty.

“Lebih manis apabila enam baju Hello Kitty yang terjual RM50,000 turut dipakai dalam klip video,” katanya sambil menambah bahawa koleksi enam baju lagi yang masih di dalam simpanannya turut dipaparkan dalam video berkenaan.

Afina menerima tawaran berlakon klip video muzik kerana mahu menjadikannya sebagai kenangan bersama keluarga.

Mengenai klip video tersebut, Afina memberitahu, dia sekeluarga perlu berlakon dan menari malah menyanyikan lagu tersebut mengikut gerak bibir (miming).

“Harapan saya klip video ini akan menjadi kenangan buat kami sekeluarga selain tontonan yang menarik kepada umum. 

“Kami sekeluarga juga meminta supaya mereka yang menontonnya nanti akan terhibur dan tidak mengecam,” katanya mengenai klip video yang dijangka dikeluarkan menjelang akhir bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaflah Datuk Z, Bayar Beribu Pun Saya Tak Nak”

Baru-baru ini, usahawan kosmetik ini dikejutkan dengan keputusannya untuk menjual enam baju Hello Kitty berharga RM50,000 kepada seorang ahli perniagaan.

Julai lalu, kisah Afina dan anak perempuannya berbaju raya Hello Kitty tular apabila seorang lelaki bergelar Datuk Z sanggup membeli baju berkenaan pada harga ribuan ringgit untuk anak perempuannya termasuk cucu yang menghidap kanser hati.

Tags / Kata Kunci: Hello Kitty , Yus Amina Mohd Zawizah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan