Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak Diperluas - Berita Semasa | mStar

Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak Diperluas

Diterbitkan: Isnin, 11 Disember 2017 12:00 PM

Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak diperluaskan bagi memerangi pesalah seksual kanak-kanak dan pedofil di negara ini. Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Usaha memerangi jenayah seksual kanak-kanak dan pedofil akan diperkukuhkan dengan penubuhan mahkamah khas mengendalikan kes tersebut di setiap negeri menjelang akhir tahun depan.

Kesemua 12 cawangan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak itu akan diwujudkan menjelang akhir 2018, kata Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Pada masa ini, hanya satu mahkamah berkenaan di Malaysia, di Istana Kehakiman di sini.

Mengenai pengembangan itu, Latifah berkata, bilangan pendakwaan yang difailkan di mahkamah khas sejak ia memulakan operasi enam bulan lalu menunjukkan peningkatan.

"Kita boleh lihat mahkamah ini memupuk kesedaran orang ramai mengenai kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, yang membawa kepada peningkatan orang yang didakwa," katanya dalam satu temuramah di sini.

Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) mengenai perlindungan kanak-kanak dan pengendalian kesalahan seksual seumpamanya bakal dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Rabu ini.

SOP tersebut akan melibatkan khidmat sokongan untuk kanak-kanak dan peranan kaunselor kanak-kanak bagi membantu mangsa menangani trauma mereka.

"Pada masa ini, seorang psikologi kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta hadir semasa prosiding, di atas permintaan mahkamah.

"Lebih banyak sistem sokongan untuk kanak-kanak perlu disediakan dari hari pertama sehingga kes mereka selesai," kata Latifah sambil menambah bahawa perkhidmatan itu termasuk membawa kanak-kanak itu ke mahkamah dan rumah.

Tags / Kata Kunci: jenayah seksual , Latifah Mohd Tahar
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan