Ucong Mahir Tiga Bahasa - Berita Semasa | mStar

Ucong Mahir Tiga Bahasa

Diterbitkan: Ahad, 10 Disember 2017 10:29 AM

Ucong sedang memotong rambut pelanggan di kedainya.

(Ubah saiz teks)

LEE Ho Chu, 63, atau lebih mesra dengan panggilan Ucong bukan lagi nama yang asing di kalangan penduduk Langkap.

Dia dikenali ramai kerana memiliki perniagaan dengan nama yang pelik iaitu Kedai Gunting Rambut Rambut Bola.

Namun, faktor utama yang membuatkan warga emas ini dikenali di kalangan penduduk di sana ialah kerana kebolehannya menguasai tiga bahasa bangsa utama Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Ucong berkata, dia boleh bertutur dalam bahasa Tamil, Kantonis dan Melayu dengan fasih kerana faktor persekitaran serta perkahwinan antara emak dan mendiang bapanya yang berasal dari dua bangsa berbeza.

“Emak saya S. Krisnama merupakan bangsa India berkahwin dengan mendiang bapa saya Lee Se Ti yang merupakan bangsa Cina dan hasil perkahwinan berkenaan keluarga kami menjadi keluarga majmuk.

“Saya mempunyai lapan adik beradik di mana dua daripadanya perempuan manakala enam lagi adalah lelaki dan saya anak kelima,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, persekitaran membesar bersama adik beradiknya memberikan mereka kelebihan untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa Kantonis serta Mandarin.

Ucong bergambar di hadapan kedai gunting rambut miliknya di Langkap.

“Kami menetap di Kampung Baru Langkap sejak lahir lagi di mana di situ hanya terdapat lima keluarga India manakala majoritinya adalah Cina kecuali keluarga kami yang bercampur.

“Atas kelebihan itu saya dan adik beradik dapat mempelajari bahasa Cina dengan fasih selain daripada mendiang bapa kami, manakala emak pula mengajar kami bertutur dalam bahasa Tamil,” katanya.

Adik beradik fasih bertutur pelbagai bahasa

Menurutnya, tidak semua adik beradiknya fasih bertutur dalam bahasa Mandarin termasuk dirinya yang hanya tahu bertutur dalam bahasa Kantonis kerana tidak memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Daripada lapan adik beradik hanya empat orang sahaja abang dan adik saya yang tahu bertutur dalam bahasa Mandarin manakala selebihnya Kantonis.

“Tapi kami semua boleh berbahasa Tamil dan bahasa Melayu dengan fasih,” katanya.

Ucong berkata, dia dan adik beradiknya belajar bahasa Melayu melalui ayah dan emaknya yang menggunakan bahasa berkenaan sebagai percakapan harian mereka berdua.

“Apabila kami sudah besar dan keluar berjumpa pula dengan kawan-kawan Melayu, kami semakin senang bercakap Melayu walaupun kadang-kadang salah sebutannya.

“Dari situlah saya mula mempunyai ramai kawan sama ada India, Cina dan Melayu terutama sekali apabila bermain bola dengan mereka,” katanya.

Katanya, semasa berusia belasan tahun dia bersama beberapa rakan Indianya menubuhkan satu pasukan bola sepak dengan nama Belia India.

“Apa yang menyeronokkan adalah ia bukan hanya disertai oleh remaja India tetapi juga ada Cina dan Melayu sampai dipersoalkan kenapa nama pasukan kami Belia India tetapi kaum lain ada.

“Malah saya juga pernah bermain bola sepak satu pasukan dengan Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin,” katanya.

Kedai gunting jadi tempat berkumpul

Menceritakan bagaimana nama perniagaannya itu boleh dikenali sebagai Kedai Gunting Rambut Bola, Ucong berkata, semuanya bermula daripada kawan-kawannya.

  “Semua orang kenal saya aktif main bola jadi mereka beri gelaran bola kepada kedai gunting saya yang sudah lebih 40 tahun dibuka bermula dari Jalan Besar Langkap sehingga ke kedai sebelah Pasar Awam Langkap.

“Kalau abang saya tidak paksa saya belajar gunting rambut mungkin kedai ini tidak akan ada sekarang kerana inilah kerja saya untuk sara keluarga,” katanya.

Katanya, pelanggannya bukan sahaja tertumpu pada satu kaum, malah merangkumi Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

“Apa yang seronok adalah bila pelanggan Cina datang saya akan berbahasa Kantonis, bila pelanggan India saya bertutur Tamil dan pelanggan Melayu pula saya berbahasa Melayu.

Ucong (tiga kiri) masih aktif bermain bola sepak.

“Keunikan inilah menjadikan kedai saya meriah dan bila semua bangsa ada kami bersembang dalam Bahasa Melayu sambil ketawa bersama-sama,” katanya.

Katanya lagi, isterinya C. Rajasubari, 56, bersama anak tunggalnya, Lee Nethajiv, 19, juga mahir berbahasa Kantonis selain bahasa Tamil dan Melayu.

Bantu masyarakat melalui bahasa

Bapa kepada satu cahaya mata ini juga merupakan Pegawai Khas Zainol Fadzi dan antara individu yang banyak membantu kaum Cina serta India yang mempunyai masalah bertutur dalam bahasa Melayu.

“Ada yang fikir saya jadi pegawai khas Datuk Zainol kerana politik tetapi sebenarnya tidak. Saya lakukannya demi membantu orang ramai di samping memanfaatkan kelebihan saya yang boleh bertutur dalam tiga bahasa.

“Saya tahu ada generasi dahulu dari kaum Cina dan India tidak begitu tahu bercakap dan faham Bahasa Melayu, jadi saya perlu bantu mereka bagi memudahkan sebarang urusan,” katanya.

Menurut Ucong, dia sering berjumpa dengan keluarga India dan Cina yang hidup begitu daif tetapi tidak menerima bantuan kerana takut untuk memohon ekoran kelemahan Bahasa Melayu mereka.

“Jadi saya akan pergi ke rumah mereka dan kemudiannya bersembang menggunakan bahasa yang mereka sering gunakan sebelum menghantar permohonan ke pejabat Adun Sungai Manik,” katanya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Lee Ho Chu
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan