“Tidak Perlu Tua Untuk Jadi Pengarah” - Fernandes - Berita Semasa | mStar

“Tidak Perlu Tua Untuk Jadi Pengarah” - Fernandes

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 8:59 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: "Tidak perlu tua untuk menjadi seorang pengarah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika mengulas pelantikan selebriti dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor, 28, sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Bhd, yang diumumkan pada Jumaat.

"Pengarah baharu kami, @neelofa adalah seorang yang muda, bijak, usahawan dan suka menaruh impian seperti kami juga.

"@airasia sekali lagi menerajui aspek kepelbagaian dan kali ini, bukan setakat wanita tetapi juga dari segi usia. Tidak perlu tua untuk bergelar seorang pengarah," katanya dalam catatan terbaharu di Instagram yang turut disertakan dengan paparan gambar beliau bersama Neelofa.

Fernandes turut berkongsi kata-kata semangat: "Beranikan diri untuk bermimpi dan usahakan impian anda. Teruskan menaruh impian, lebihkan usaha, terokai dunia dan terbang lebih tinggi bersama-sama AirAsia."

Sementara itu, Neelofa yang merupakan satu nama besar dan dikenali ramai, juga berkongsi kegembiraannya bersama 5.3 juta pengikut setia di Instagram.

"Betapa menariknya pengakhiran tahun 2017! Saya amat bersyukur dan terharu dengan pelantikan ini dan berterima kasih kepada semua di atas ucapan yang diberikan," kata Neelofa.

Sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai antara detik penting dalam hidupnya, ikon usahawan muda itu turut berkongsi keterujaannya untuk menggalas cabaran baharu itu.

Selain bergelar selebriti, Neelofa memulakan langkah sebagai usahawan dan membina empayar perniagaannya menerusi jenama tudung terkemuka, Naelofar Hijab.

Malah, jenama itu dilaporkan bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun ini dan dipasarkan di 37 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura dan Brunei.

“Pencapaian ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua wanita di luar sana," katanya.

Neelofa juga mempunyai reputasi sebagai ahli perniagaan wanita terkemuka di Malaysia dan antara segelintir kecil rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai usahawan muda pengubah ‘30 Under 30' (Kelompok 30 di bawah usia 30 tahun).- Bernama

Tags / Kata Kunci: Tan Sri Tony Fernandes , Neelofa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan