“Bukan Nak Tunjuk Cikgu Lain Tak Buat Kerja”

Diterbitkan: Sabtu, 9 Disember 2017 10:43 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Niat baik seorang guru praktikal berkongsi keterujaannya apabila dia mampu membuatkan seorang pelajar paling pendiam di sebuah sekolah di Puchong, Selangor tersenyum disalah erti oleh netizen.

Amy Mistika Salim, 22, juga sama sekali tidak menyangka perkongsiannya di Twitter tentang prestasi salah seorang pelajarnya, Yip Kah Shzen yang bertambah baik telah mengguris perasaan sesetengah guru.

Pelajar berketurunan Cina itu didakwa merupakan seorang pelajar yang terlalu pendiam, pemalu serta sering menundukkan kepala di dalam kelas sehingga membuatkan guru di sekolah tersebut 'mati akal' untuk menarik minatnya untuk berkomunikasi.


Antara komen yang ditinggalkan netizen.

"Saya tiada niat lain dan hanya nak bercerita tentang apa yang terjadi, tapi saya akui memang silap saya kerana tidak tahu apa yang sensitif.

"Saya terlalu seronok dan begitu bangga dengan pencapaian pelajar itu sehingga saya tidak perasan telah menulis benda yang sensitif," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Posting guru praktikal tersebut tular di Twitter sejak Selasa lalu dan menerima lebih 69,000 'retweet' dan 49,000 tanda suka 'like'.


Amy Mistika (kanan) bergambar kenangan bersama Kah Shzen.

Jelas anak sulung daripada empat beradik itu, dia ingin membetulkan tanggapan netizen yang menyangka guru-guru lain di sekolah berkenaan tidak mempedulikan Kah Shzen di dalam kelas.

"Tulisan saya itu bukan nak tunjukkan mereka tidak buat kerja, tetapi sebaliknya saya nak berkongsi tentang cabaran saya untuk menarik minat pelajar itu.

"Hakikatnya, saya tahu mereka sudah banyak kali mencuba tapi Kah Shzen tetap begitu," ujarnya dalam nada kesal.

Amy Mistika terkejut apabila mendapati Kah Shzen menyalin setiap nota yang ditulisnya di papan putih.

Amy Mistika yang merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberitahu, guru pembimbing di sekolah tersebut ada menegur dirinya secara baik sejurus mengetahui tentang perkara itu dan berpesan agar dia belajar daripada kesilapan.

Bagi wanita yang berasal dari Pasir Gudang, Johor itu, dia tidak patah semangat dengan apa yang berlaku dan mengambil komen negatif netizen sebagai pengajaran agar kejadian sama tidak berulang.

"Selepas cerita tersebut tular, baru saya tahu tak boleh itu, tak boleh ini.

"Sebenarnya tak boleh dedahkan gambar dan identiti pelajar," katanya.

Amy Mistika yang sudah menamatkan tempoh latihan praktikalnya di sekolah itu turut menghubungi Kah Shzen untuk memohon maaf sekiranya perbuatan memuat naik kisah mereka di Twitter membawa kesan yang negatif kepada pelajar berkenaan.

Bagaimanapun, dia akhirnya menarik nafas lega apabila pelajar itu langsung tidak memarahinya dan tidak mempunyai masalah dengan posting tersebut.

Kakak dan adik perempuan Kah Shzen turut berterima kasih kepada Amy Mistika kerana tidak menyangka ada guru yang sanggup memberikan perhatian yang lebih kepadanya memandangkan pelajar di sekolah itu terlalu ramai.

Tags / Kata Kunci: Amy Mistika

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan