SPRM Temui Wang Tunai RM1 Juta Dalam Kotak Kasut - Berita Semasa | mStar

SPRM Temui Wang Tunai RM1 Juta Dalam Kotak Kasut

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 8:14 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Wang tunai hampir RM1 juta dan barangan kemas ditemukan dalam kotak kasut dan peti besi di rumah seorang bekas ketua polis daerah berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) di negeri ini pada Khamis.

Semua aset tersebut ditemukan semasa pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penggeledahan di rumah pegawai polis berusia 59 tahun itu bagi membantu siasatan rasuah dan salah laku.

SPRM, dalam kenyataan pada Jumaat berkata, pegawai berkenaan yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, ditahan di pejabat SPRM Perak pada jam 7.30 malam Khamis bersama isterinya berusia 54 tahun dan seorang ahli perniagaan wanita berusia 34 tahun bagi membantu siasatan.

SPRM berkata ahli perniagaan itu disyaki mempunyai kepentingan dengan pegawai polis itu ketika berkhidmat sebagai ketua polis daerah dan dipercayai wanita berkenaan telah memberikan sejumlah wang untuk majlis perkahwinan anak pegawai berkenaan pada Februari lalu.

“Ahli perniagaan itu telah memasukkan wang sebanyak RM70,000 ke dalam akaun isteri pegawai polis tersebut dengan dua transaksi iaitu RM20,000 dan RM50,000,” demikian menurut kenyataan itu.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata ketiga-tiga individu berkenaan ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM.

Katanya, ketiga-tiga mereka direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009.

Terdahulu, pegawai polis itu dibawa ke kompleks mahkamah di sini pada jam 10.45 pagi tadi oleh pegawai SPRM dengan berpakaian lokap SPRM serta bergari bagi mendapatkan perintah reman.- Bernama

Tags / Kata Kunci: SPRM , Polis , Perak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan