Dua Pelajar UTM Positif Tibi Dipantau Rapi

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 1:19 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Dua pelajar pra siswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang didapati positif Tuberkulosis (Tibi) dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk saringan dan sudah pun dibenarkan kembali ke universiti bagi meneruskan pengajian.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM Prof Dr Durrishah Idrus berkata kedua-dua pelajar rakyat  tempatan itu kini dipantau Pusat Kesihatan UTM, diberi ubat dan rawatan selain dikehendaki membuat pemeriksaan berkala untuk menilai perkembangan semasa mereka.

"Bagi memastikan tiada pelajar lain dijangkiti penyakit berkenaan, Pusat Kesihatan UTM akan mengadakan saringan terhadap mereka yang berhubung secara rapat dengan pesakit terutama di fakulti dan rakan sebilik.

"Pada masa sama, UTM juga akan mengambil langkah proaktif dengan menjalankan saringan terhadap semua pelajar supaya mereka tidak menghidap sebarang penyakit yang boleh berjangkit," katanya menerusi kenyataan di sini Jumaat.

Durrishah berkata  sehubungan itu, ibu bapa penuntut universiti tidak perlu bimbang kerana pesakit Tibi akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan dan pengawasan secara dekat oleh Pusat Kesihatan UTM.

Beliau berkata penuntut yang batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutama pada sebelah malam dinasihatkan  untuk membuat pemeriksaan di Pusat Kesihatan UTM.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat dilaporkan berkata Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan ujian saringan penyakit Tibi di UTM minggu depan susulan dua pelajar perempuannya yang dikesan menghidapi penyakit berkenaan.

Pelajar yang dijangkiti itu berumur 20 dan 22 tahun dan berikutan itu, ujian saringan akan dibuat di sebuah kelas pelajar berkenaan serta dua asrama iaitu Kolej Tun Fatimah dan Kolej Perdana, katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Tibi , UTM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan