‘Pau Viral’ Di PAU 2017

Diterbitkan: Khamis, 7 Disember 2017 12:22 PM

Pau R'Mias mula dijual pada harga RM2 setiap satu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jika sebut sahaja tentang pau, pasti terbayang-bayang bentuknya yang putih gebu dan selalunya sinonim dengan pelbagai perisa seperti kaya, kacang merah, daging dan ayam. 

Tidak mahu kekal dengan streotaip pau harus berwarna putih, Mohd Ghazali Abd Rahman mencorakkan hidangan itu dengan pelbagai rona mengikut perisa asalnya bagi mencetuskan kelainan.

"Saya fikir kenapa kalau nak jual pau mesti putih, nanti nampak 'boring' sahaja.

"Jadi, kawan-kawan berikan idea untuk buat pau berwarna-warni dan pesan mereka lagi jangan kedekut inti," katanya ketika ditemui di gerainya sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Khamis.

Bagi Mohd Ghazali, nama PAU2017 itu sendiri ibarat membawa tuah kepada Pau R'mias yang dijualnya kerana sudah lebih 3,000 biji terjual sepanjang tiga hari perhimpunan tersebut berlangsung. 

Pau R'mias mempunyai 10 perisa yang dihiasi dengan pelbagai warna.

Terdapat sebanyak 10 perisa Pau R'mias yang ditawarkan kepada pengunjung pada harga RM2 sebiji.

Antara perisa yang tersebut adalah coklat, sosej keju dan lada hitam, kelapa bijan, serunding daging, coklat kopi dan sardin.

Jelasnya, asal-usul nama R'mias itu pula diambil daripada loghat utara yang bermaksud rimas.

"Bak kata orang utara, kalau tak dapat tu rasa rimas. Macam itulah juga bila pelanggan dah rasa Pau R'mias ini.

"Bila dah makan, rasa nak lagi," katanya yang memulakan perniagaan pau tersebut sejak Jun 2016.

Pau yang mula diperkenalkan di pasar malam sekitar Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Selangor itu kini boleh didapati di Sungai Petani, Kedah dan Sepang, Selangor.

Tags / Kata Kunci: pau viral , Perhimpunan Agung Umno

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan