Senarai Hitam PTPTN: Tujuh Hari Awal Untuk Runding - Berita Semasa | mStar

Senarai Hitam PTPTN: Tujuh Hari Awal Untuk Runding

Diterbitkan: Isnin, 4 Disember 2017 4:34 PM

(Ubah saiz teks)

LENGGONG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta peminjam yang disenarai hitam supaya berunding dengan pihaknya selewat-lewatnya tujuh hari bagi mengelak masalah berlaku sebelum berlepas ke luar negara.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, rundingan itu bagi membolehkan persetujuan dapat dicapai untuk menjelaskan bayaran pinjaman PTPTN selain menyenaraiputihkan nama peminjam terbabit.

"Sekiranya tidak mampu membayar keseluruhan tunggakan, PTPTN menyediakan kaedah penstrukturan semula pinjaman bagi meringankan beban kewangan peminjam.

"Melalui kaedah ini juga, ansuran bulanan peminjam boleh dikurangkan melalui pemanjangan tempoh bayaran balik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Dewan Merdeka Lenggong di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali Selasa minggu lalu mengenai seramai 447,890 PTPTN yang disenarai hitam Jabatan Imigresen kerana tidak membayar semula pinjaman dan merupakan golongan terbesar yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Shamsul Anuar berkata, langkah senarai hitam peminjam melalui Jabatan Imigresen bukan langkah yang baharu  kerana ia telah dilaksanakan oleh PTPTN sejak tahun 2008 dan ia antara langkah terakhir setelah pelbagai langkah lebih mesra pelanggan gagal.

Katanya, ia juga dilakukan terhadap peminjam yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan daripada tarikh sepatutnya mula membayar semula pinjaman selepas tamat belajar.

“Peminjam yang masih kekal dalam senarai hitam seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Imigresen adalah mereka yang belum membuat sebarang rundingan dengan PTPTN,” katanya.

Beliau berkata sehingga 31 Oktober lepas, seramai 487,091 iaitu 51.3 peratus daripada keseluruhan peminjam yang disenarai hitam telah berunding dengan PTPTN dan memulakan bayaran balik pinjaman secara konsisten mengikut kemampuan.

“Ia telah melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM1.54 bilion. Setakat ini, PTPTN telah mengeluarkan RM51.6 bilion kepada peminjam dan pihaknya perlu mendapatkan balik pinjaman untuk diberikan kepada 200,000 pelajar baharu dengan kos RM4 bilion setiap tahun dan 600,000 kepada pelajar sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mewujudkan perkhidmatan cawangan PTPTN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang beroperasi  24 jam termasuk pada hujung minggu dan cuti umum bagi membantu peminjam yang mempunyai masalah untuk ke luar negara.

“Peminjam boleh menghubungi talian di KLIA2 iaitu 017-249 3000/017-276 3000/017-285 3000, selain talian Careline 03-2193 3000 bagi rundingan,” katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: PTPTN
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan