Al Jufferi Kini Milik Nurul Farhana

Diterbitkan: Sabtu, 2 Disember 2017 5:57 PM

Pesilat negara yang juga Olahragawan Kebangsaan 2015 Mohd Al Jufferi Jamari,25 (depan, kiri) dan pasangannya Nurul Farhana Abd Majid ,25, bergaya bersama 'hulubalang' pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Dewan Seri Semai Bakti, Felda Kuantan, Sabtu.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Juara silat dunia, Mohd Al Jufferi Jamari hari ini melangsungkan majlis persandingan dengan pilihan hatinya, Nurul Farhana Abd Majid setelah majlis akad nikah kedua mempelai itu dibuat di Kulai, Johor pada Sabtu.

Majlis yang diadakan di Dewan Semai Bakti Felda, Padang Lalang di sini dihadiri kira-kira 1,000 tetamu termasuk anggota pelbagai persatuan silat seluruh negeri Pahang.

Antara tetamu istimewa yang hadir memeriahkan majlis ialah Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, Yang Dipertua Pesaka Pahang Datuk Sohaimi Mohd Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Mohd Al Jufferi , 25, berkata bibit perkenalan dengan Nurul Farhana, 27, bermula di laman sosial Facebook sebelum mereka berjumpa dan mengenali hati budi masing-masing.

"Kami hanya bertemu di Singapura pada temasya Sukan SEA 2015.

"Setelah mengenali Nurul Farhana dengan lebih dekat, saya terbuka hati untuk mengambilnya sebagai isteri sebelum melangsungkan perkahwinan ini," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Mohd Al Jufferi yang berasal dari Kuantan berkata beliau kini lebih bersemangat untuk menjulang nama negara dalam sukan silat kerana mendapat sokongan sepenuhnya daripada isteri yang sebelum ini juga pernah menjadi atlet silat.

"Saya tidak mengetahui bahawa isteri saya juga pernah terlibat dengan sukan silat dan hanya mengetahuinya apabila kami sudah lebih mengenali.

"Kami mempunyai minat yang sama, jadi tidak ada masalah baginya memahami jadual latihan dan kejohanan yang bakal saya sertai," katanya.

Olahragawan kebangsaan 2015 itu menyatakan selepas ini beliau akan menyertai Pra Sukan Asia pada Februari tahun depan sebelum menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta.

"Pra Sukan Asia merupakan medan bagi saya untuk melihat jika ada teknik terbaru  digunakan oleh para pesilat negara lain dan penambahbaikan atas persembahan saya.

"Pada Sukan Asia sebenar sudah semestinya saya mengimpikan untuk merangkul pingat emas buat negara dalam acara ini," katanya yang turut mengakui terpaksa menangguhkan bulan madu kerana mempunyai jadual latihan yang ketat kini.

Sementara itu, Nurul Farhana yang bekerja di Singapura berkata beliau enggan memberikan sebarang tekanan kepada Mohd Al Jufferi kerana menyedari tanggungjawab besar yang digalas oleh suaminya.

"Saya akan sentiasa memberi sokongan kuat kepada suami untuk beraksi cemerlang dalam setiap acara disertai. Saya juga mendoakan beliau beroleh kemenangan untuk negara," katanya.-- Bernama            


Tags / Kata Kunci: Al Jufferi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan