Malaysia Mohon Ekstradisi 6 Rakyat Kes Dadah Di Hong Kong

Diterbitkan: Sabtu, 2 Disember 2017 7:28 PM

Ahmad Zahid Hamidi.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membuat permohonan ekstradisi daripada pihak berkuasa Hong Kong ke atas enam rakyatnya yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa negara itu kerana disyaki menyeludup dadah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Malaysia mempunyai Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan negara China yang mana Hong Kong adalah wilayah autonomi republik itu, sekaligus memudahkan proses penghantaran pulang enam rakyat Malaysia itu.

"Kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dengan Polis Hong Kong akan dilakukan untuk proses ekstradisi tersebut yang turut terkandung dalam MLA itu malah PDRM telah dimaklumkan oleh Polis Hong Kong mengenai penangkapan tersebut dan akan menyiapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Sama ada Akta Dadah Berbahaya 39B atau akta lain akan digunakan, itu terserah kepada mereka," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Umno Selangor 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, (PWTC) pada Sabtu.

Memetik laporan portal berita South China Morning Post, enam rakyat Malaysia ditahan sepasukan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki menyeludup dadah ketamin bernilai HK$3.9 juta (RM2 juta) ke negara itu.

Kesemua warga Malaysia berusia antara 18 dan 28 tahun itu ditahan ketika sesi pemeriksaan kastam sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada Rabu. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan