MB Johor Jawab Isu Rasuah Isnin Ini - Berita Semasa | mStar

MB Johor Jawab Isu Rasuah Isnin Ini

Diterbitkan: Khamis, 30 November 2017 3:25 PM

Mohamed Khaled Nordin.

(Ubah saiz teks)

ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menjawab dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan rasuah hartanah pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2018 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Isnin ini.

Bercakap kepada pemberita di luar Persidangan Penggal Kelima DUN ke-13, di sini Khamis, Mohamed Khaled berkata, beliau sedar mengenai isu itu dan bersedia menjawab tohmahan tersebut.

"Sebenarnya (ini) perkara mahkamah (perbicaraan sedang berlangsung), jadi tidak boleh cakap di luar (DUN), tunggu Isnin. I'm not going to run, I'm here (Saya tidak akan lari, saya ada di sini)," katanya.

Isnin lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai, Wong Shu Qi dalam perbahasannya pada persidangan itu, membangkitkan dakwaan terhadap Mohamed Khaled yang dituduh menerima sejumlah wang daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot bumiputera kepada lot bukan bumiputera.

Ini susulan penyebaran beberapa dokumen yang dimuat naik oleh sebuah blog yang didakwa kenyataan seorang saksi semasa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes skandal hartanah membabitkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd Latif Bandi.

Susulan tindakan blog itu, saksi SPRM tersebut dipercayai telah membuat laporan polis di sini semalam bagi meminta polis menjalankan siasatan terhadap pemilik blog berkenaan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Khaled Nordin
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan