Pesawat TUDM Mendarat Cemas Di Kuching - Berita Semasa | mStar

Pesawat TUDM Mendarat Cemas Di Kuching

Diterbitkan: Selasa, 28 November 2017 10:34 PM

Foto twitter @TheAirTimes

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini petang Selasa.

Pengurus Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRD) Wilayah Sarawak, Wan Johari Wan Shahid berkata, pihaknya menerima panggilan dari menara kawalan mengenai pendaratan cemas itu kira-kira pukul 2.41 petang.

Katanya, beliau difahamkan juruterbang membuat panggilan ke menara kawalan (Pusat Kawalan Trafik Udara) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas merasakan pesawat itu menghadapi masalah yang berkaitan dengan pendaratan.

Beliau berkata, pihaknya terus membuat persiapan rapi pendaratan kecemasan sebaik sahaja menerima panggilan dan lima minit kemudian pesawat itu berjaya mendarat seperti biasa tanpa mengalami sebarang masalah.

Wan Johari yang dihubungi Bernama berkata, pesawat itu didapati tidak menghadapi masalah semasa mendarat, dan katanya memang menjadi prosedur biasa bagi juruterbang memastikan segala persiapan pendaratan kecemasan dibuat rapi apabila merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan peralatan mendarat.

Menurutnya, pesawat itu telah ditunda ke hangar TUDM untuk pemeriksaan.

Sementara itu, tinjauan mendapati operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching berjalan lancar seperti biasa, tanpa sebarang gangguan jadual penerbangan.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan lewat petang Selasa berkata, pesawat pejuang  F/A 18D TUDM telah membuat ‘precautionary landing', selepas mendapati pesawat tersebut menghadapi masalah kecil.

Menurutnya ‘Nose Landing Gear Indicator' di dalam kokpit pesawat menunjukkan ianya tidak berfungsi meskipun ketiga-tiga gear pendaratan telah pun turun, dan juruterbang kemudian berjaya mendarat dengan selamat.

Pesawat tersebut dalam penerbangan pulang ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang setelah selesai Eksesais PARADISE 4/2017 di Pangkalan Udara Labuan. - Bernama

Tags / Kata Kunci: TUDM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan