2018: Pesalah Trafik Gagal Bayar AWAS Ke Mahkamah - Berita Semasa | mStar

2018: Pesalah Trafik Gagal Bayar AWAS Ke Mahkamah

Diterbitkan: Selasa, 28 November 2017 3:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun bagi kesalahan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan dihadapkan ke mahkamah mulai awal tahun depan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata tindakan tersebut juga diambil untuk semua saman yang dikeluarkan mulai 1 Mei tahun ini.

“Kementerian bercadang untuk memulakan pendakwaan kes AWAS mulai 2018. Justeru, kini kementerian melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang membuat persiapan untuk mengarahkan pesalah lalu lintas AWAS untuk hadir ke mahkamah.

“Sekarang ini jumlah kompaun adalah sebanyak RM150 tetapi apabila di mahkamah, jumlah tersebut akan dinaikkan yang mana minimum jumlah denda adalah RM300,”katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai tarikh penerima saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Ab. Aziz berkata bagaimanapun,  untuk saman AES yang dikeluarkan pada 2012 hingga April tahun ini, tindakan masih ditangguhkan dan setakat ini sebanyak 2.7 juta saman AES telah direkodkan.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: AWAS , JPJ
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan