Bung Mahu Malaysia Ikut Duterte Perangi Dadah

Diterbitkan: Selasa, 28 November 2017 5:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Bung Mokhtar Radin memberitahu Malaysia seharusnya mencontohi dasar tegas yang dilakukan oleh Kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte dalam memerangi dadah.

Ahli Parlimen Kinabatangan Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian susulan dakwaannya bahawa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) gagal menjalankan tugas.

Bercakap ketika membahaskan peruntukan Bajet 2018 Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bung berkata, AADK perlu dimansuhkan kerana ia membuang masa dan sumber.

"AADK gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Terdapat peningkatan jumlah penagih dadah setiap tahun walaupun dadah adalah musuh nombor satu negara," katanya.

"Mengapa kita tidak boleh mengikut Filipina? Kita boleh saja menahan penagih dadah tanpa pendakwaan dan tembak pengedar dadah, jadi negara kita bebas daripada mereka," katanya.

Kenyataan beliau mengejutkan wakil rakyat pembangkang apabila beberapa anggota Parlimen bangun dan bertanya adakah beliau serius berhubung perkara itu.

"Saya sangat serius. Saya menyokong ini jika ia adalah untuk kepentingan negara," katanya.

Perang dadah Filipina dikritik dalam dan luar negara berikutan pembunuhan menyeluruh yang menyebabkan ribuan kematian menerusi operasi polis.

Dilaporkan lebih 14,000 orang terbunuh bagi memerangi dadah sejak dasar tersebut dilaksanakan mulai Mac tahun ini.

Tags / Kata Kunci: Rodrigo Duterte , Bung Moktar Radin , dadah , AADK

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan