Baik Pulih Landasan Kereta Api Sehingga 3 Disember - Berita Semasa | mStar

Baik Pulih Landasan Kereta Api Sehingga 3 Disember

Diterbitkan: Isnin, 27 November 2017 5:11 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perkhidmatan Komuter KTM antara Stesen Kepong dan KL Sentral ditutup sehingga 3 Dis ini untuk memudahkan kerja-kerja pembaikan selepas  12 buah kargo tergelincir pada 23 November lalu.

Kargo tersebut tergelincir di KM386 berhampiran stesen Bank Negara pada 2.58 pagi terpaksa  penutupan laluan kereta api.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa cuaca hujan melambatkan kerja-kerja pembaikan yang sepatutnya siap pada 28 November, namun ditunda ke 3 Disember.

Jelas KTMB, kerja-kerja pembaikan semakin rumit berikutan kedudukan kargo yang terbalik di terowong berhampiran stesen Bank Negara.

Perkhidmatan kereta api dan pengaturan pengangkutan alternatif yang akan terus beroperasi adalah seperti di berikut:

Tanjung Malim - Pelabuhan Klang

Perkhidmatan hanya akan beroperasi dari stesen Tanjung Malim ke stesen Kepong, dan dari stesen KL Sentral ke stesen Pelabuhan Klang.

Tiada  perkhidmatan kereta api KTM Komuter antara stesen Kepong dan stesen KL Sentral.

KTMB telah menyediakan perkhidmatan bas yang beroperasi di antara stesen Segambut dan stesen KL Sentral. 

Perkhidmatan bermula dari pukul 6 pagi hingga 12 pagi dengan selang waktu 30 hingga 45 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas.

Laluan Batu Caves-Seremban-Tampin

Kereta KTM Komuter hanya akan beroperasi dari Stesen Batu Caves ke Stesen Sentul.

Ia juga akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke stesen Tampin atau Pulau Sebang melalui stesen Seremban.

Kereta KTM Komuter tidak akan beroperasi dari Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral tetapi penumpang boleh menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh KTMB.

Bas antara Stesen Sentul ke Stesen KL Sentral dari 6.00 pagi hingga 12.00 petang, dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit bergantung kepada kesesakan lalu lintas.

Perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) juga turut terjejas dengan proses pembaik pulih landasan tersebut.

Laluan sektor utara (Padang Besar / Butterworth-Ipoh-KL Sentral-Gemas)

ETS dari sektor Utara akan beroperasi sehingga Stesen Sungai Buloh.

Penumpang disarankan untuk mengambil Mass Rapid Transit (MRT) dari stesen Sungai Buloh ke stesen KL Sentral.

Penumpang kemudian boleh mengambil ETS untuk meneruskan perjalanan ke stesen Gemas.

Kakitangan KTMB akan mengiringi penumpang untuk sampai ke stesen MRT.

Laluan sektor selatan (Gemas-KL Sentral-Ipoh-Butterworth / Padang Besar).

ETS dari sektor Selatan akan beroperasi sehingga Stesen KL Sentral.

Penumpang akan disarankan untuk mengambil MRT dari stesen KL Sentral ke stesen Sungai Buloh dan meneruskan perjalanan mereka ke Stesen Padang Besar, Stesen Butterworth dan Stesen Ipoh di ETS.

KTMB juga telah menyediakan perkhidmatan van untuk penumpang warga tua dan penumpang yang kurang upaya yang bergerak di antara stesen Sungai Buloh dan stesen KL Sentral.

Kelewatan jangkaan ETS pada semua laluan adalah antara 30 dan 60 minit.

Penumpang ETS yang ingin membatalkan perjalanan layak mendapat bayaran balik sepenuhnya atau menukar tarikh perjalanan mereka bergantung tarikh tiket yang diingini.

Penumpang juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dan digalakkan menggunakan alternatif pengangkutan awam lain seperti MRT, Light Rail Transit (LRT) dan bas GO KL.

"Kerja-kerja pembaikian sedang dijalankan dan kami akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa. KTMB meminta maaf atas sebarang kesulitan yang timbul," jelas kenyataan tersebut.

Mereka yang mempunyai pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk melawat laman Twitter rasmi KTMB di @ktm_berhad dan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200.

Tags / Kata Kunci: Kargo Keretapi , KTMB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan