Tengku Sarafudin Badlishah Dimasyhur Raja Muda Kedah Ke-20

Diterbitkan: Ahad, 26 November 2017 2:54 PM

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyerahkan Keris Kebesaran Duli yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah kepada anakandanya Datuk Tengku Sarafudin pada Majlis Pemashyuran Pelantikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Perisytiharan Pelantikan Teramat Mulia Tunku Laksamana Kedah di Istana Anak Bukit pada Ahad. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tunku Laksamana Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah yang ke-20 dalam satu istiadat di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit pada Ahad.

Tengku Sarafudin, 50, yang merupakan anakanda sulung Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, menggantikan ayahandanya yang menaiki takhta sebagai Sultan Kedah pada 12 September lalu.

Istiadat Pemasyhuran Pelantikan Raja Muda Kedah dan Perisytiharan Pelantikan Tunku Laksamana Kedah itu turut menyaksikan adinda Tengku Sarafudin, Datuk Tunku Shazudin  Ariff Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Tunku Laksamana Kedah yang baharu.

Istiadat sebelum itu dimulakan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din membacakan watikah pemasyhuran pelantikan Raja Muda Kedah di hadapan Sultan Sallehuddin dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Tengku Sarafudin kemudiannya melafazkan sumpah dan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Kedah dan sama sekali tidak menyimpang dari Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.

“Patik akan menjalankan tugas berhubungan negeri ini mengikut garis, langkah dan titah perintah daripada ayahanda Sultan Kedah dengan seberapa daya upaya,” demikian antara lafaz ikrar baginda.

Tengku Sarafudin kemudiannya menandatangani surat sumpah yang disaksikan Ketua Hakim Syarie Kedah Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hashim Hamzah.

Sejurus selesai, Sultan Sallehuddin berkenan mengurniakan keris kebesaran Raja Muda Kedah kepada Tengku Sarafudin dan serentak dengan itu paluan nobat dimainkan dan  tembakan meriam sembilan das dilepaskan.

Sultan Kedah kemudiannya mengurniakan Darjah Utama Seri Mahawangsa Yang Amat Dihormati (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Tengku Sarafudin sebelum mengurniakan Darjah Kerabat Bergelar Empat  yang membawa gelaran Tunku Laksamana Kedah kepada Tunku Shazudin.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah  dan Toh Puan Bendahara Kedah Puan Seri Nora Abdullah serta Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan