Dipukau Lelaki ‘Kopiah’, Barang Kemas Dua Nenek Lesap - Berita Semasa | mStar

Dipukau Lelaki ‘Kopiah’, Barang Kemas Dua Nenek Lesap

Diterbitkan: Ahad, 26 November 2017 8:49 AM

Bulatan merah menunjukkan sampul berwarna coklat yang diserahkan oleh seorang lelaki berkopiah ketika memukau mangsa. - Facebook

(Ubah saiz teks)

KUALA BESUT: Dua wanita yang pernah menjadi mangsa pukau dua lelaki di sekitar pekan Kuala Besut mengesahkan video dua lelaki dipercayai sedang memukau seorang warga emas yang tular baru-baru ini adalah orang sama memukau mereka sebelum ini.

Salah seorang mangsa, Zaidah Dollah, 59, berkata, setelah melihat video ditunjukkan anaknya, dia mengesahkan salah seorang daripada dua lelaki dalam klip video yang dipercayai dirakam oleh orang awam itu adalah lelaki sama memukaunya pada Jun 2015.

"Mak cik masih ingat lagi wajah dan susuk tubuh badan lelaki ini yang memakai kopiah sama macam dalam video ini.

"Tapi seorang lagi lelaki ini bukan lelaki sama yang pukau mak cik masa 2015," katanya.

Dia yang menceritakan kembali kejadian tiga tahun lalu itu berkata, dia tiba-tiba didatangi dua lelaki berpura-pura bertanyakan rumah seseorang ketika dia duduk di bangku sebuah kedai makan yang tidak beroperasi setelah selesai membeli-belah di Pasar Tani Kuala Besut.

“Mak cik duduk di situ sementara tunggu kawan datang ambil untuk tumpang balik ke rumah, tiba-tiba datang dua lelaki menghampiri makcik dan seorang daripadanya berpura-pura bertanyakan rumah Ustaz Nazir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Jejawi (Beris Cawat) di sini.

Zaidah berkata, selepas memberitahu tidak mengenali ustaz terbabit, suspek kemudian menawarkan batu permata kepadanya kononnya batu tersebut boleh dijadikan pelbagai azimat.

Zaidah menunjukkan lelaki dalam video yang viral sejak beberapa hari lalu menyerupai orang yang sama memukaunya tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia berkeras menolak pemberian itu, namun akhirnya lelaki terbabit memasukkan batu itu ke dalam sampul surat sebelum dihulurkan kepadanya.

Lelaki berkopiah di dalam video inilah dikatakan sama seperti yang memukau mangsa di Kuala Besut sebelum ini.

"Mak cik terpaksa ambil sampul surat ini dan tak lama lepas itu, dua lelaki ini terus tinggalkan mak cik.

“Makcik kemudian balik ke rumah dan belum sedar apa yang berlaku. Makcik sedar barang kemas hilang jam 11.30 pagi selepas buka isi di dalam sampul ini," katanya.

Katanya, dia mendapati isi di dalam sampul itu bukan batu permata sebaliknya hanya beberapa biji batu kerikil, pasir, potongan kayu kecil dan tisu.

“Selepas itu baru makcik sedar dua gelang tangan dan dua cincin emas makcik bernilai RM22,000 yang dipakai ketika ke pasar tani tadi sudah tak ada,” katanya.

Tambahnya, dia memang  tidak sedar waktu bila dia tanggalkan semua barang kemas kerana cincin yang dipakainya agak ketat manakala gelang emasnya juga tidak mudah dibuka.

Sementara itu seorang lagi warga emas, Bidoh Ismail, 70, yang menjadi mangsa samun turut mengesahkan lelaki berkopiah dalam video berkenaan mirip lelaki yang memukau dan menyamun barang kemasnya dalam kejadian di Pekan Baru, Kuala Besut pada Mac lalu.

Anak mangsa, Rohani Ismail, 56, yang ditemui di Kampung Alor Pisang, berkata, ibunya yang melihat video itu semalam yakin lelaki berkopiah itu adalah orang sama yang melarikan barang kemas menyebabkan ibunya kerugian kira-kira RM17,000.

Menurutnya, sebelum kejadian ibunya yang tinggal di Kampung Batu Hitam, Pasir Putih, Kelantan datang ke rumahnya.

“Mak pergi ke pasar tani Pekan Tani Kuala Besut sebelum didatangi dua lelaki dengan salah seorangnya pakai kopiah dan berbadan gempal.

“Lelaki itu tawarkan batu permata yang kononnya mempunyai pelbagai kelebihan tertentu yang dimasukkan ke dalam sampul surat warna kelabu. Lelaki ini pesan agar sampul itu hanya dibuka bila sampai di rumah,” katanya.

Kata Rohani, selepas menerima sampul surat warna kelabu itu, ibunya terus datang ke tempat dia berniaga kedai makan di atas pasar Kuala Besut.

Salah satu 'posting' yang dimuat naik netizen.

Menurutnya, ibunya yang belum menyedari barang kemasnya sudah hilang dengan gembira memberitahu dia mendapat batu permata daripada dua lelaki berkenaan.

“Saya mula syak sesuatu yang buruk bila mak cakap begitu dan selepas itulah mak baru sedar seutas gelang tangan, rantai leher dan dua bentuk cincin emas yang dipakainya tiada,” katanya.

Sehubungan itu kedua-dua mangsa berharap dengan terakam wajah lelaki itu akan memudahkan pihak polis mengesannya.

Selain dua warga emas ini, Sinar Harian difahamkan beberapa orang lagi turut menjadi mangsa pukau dipercayai lelaki sama berdasarkan modus operandinya di sekitar daerah ini sebelum itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki dalam video itu yang dikatakan suspek sama yang menyamun mangsa di Besut termasuk satu kejadian yang modus operandi sama di Pasar Renek dekat Jabi sebelum itu.

Menurutnya, sehubungan itu beliau memohon jasa baik orang ramai untuk melaporkan segera kepada polis sekiranya terserempak atau mempunyai maklumat mengenai lelaki yang tersebar dalam video tersebut.

Tags / Kata Kunci: pukau
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan