Mandi Jenazah Bukan Macam Cuci Kereta

Diterbitkan: Khamis, 16 November 2017 9:41 AM

(Ubah saiz teks)

BEKAS guru agama kongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam bidang pengurusan jenazah.

Bermula dengan hanya melihat dan membantu orang kampung menguruskan jenazah, seorang bekas guru agama kini merupakan tukang urus jenazah terkenal daerah ini.

Selain dipanggil menyampaikan kursus pengurusan jenazah, bekas guru terbabit, Hod Abdul Rahman, juga merupakan pembantu hospital dalam menguruskan jenazah di Hospital Jerantut.

Hod berkata, dia mula melibatkan diri dalam pengurusan jenazah sekitar tahun 2000 selepas pencen sebagai guru agama di Bera dan kini menetap di Taman LKNP, di sini.

“Saya mula berkecimpung dalam bidang ini ketika berlaku satu kes kematian beberapa tahun dulu di mana ketika itu tiada yang berani uruskan jenazah.

“Dengan pengalaman yang ada  saya diminta untuk menguruskan jenazah itu,” katanya.

Selepas itu katanya, Hod semakin dikenali sebagai orang yang mahir menguruskan jenazah sehinggalah pada tahun 2010, dia dipanggil untuk mengikuti kursus pengurusan jenazah oleh Pejabat Agama Islam Daerah.

“Balik dari kursus itu di Kuantan, saya makin sibuk sebab terima pelbagai permintaan termasuk untuk menyampaikan kursus berkaitan pengurusan jenazah,” katanya.

Hod menunjukkan sijil pelbagai kursus yang diambil untuk mendalami ilmu pengurusan jenazah dan perubatan Islam.

Menurutnya memandikan jenazah perlu dilakukan secara halus dan teliti.

“Kita tak boleh nak kasar-kasar...sebab jenazah ini walaupun hanya tinggal jasad, si mati masih merasai kesakitannya.

“Mandikan jenazah ni bukan macam basuh kereta. Harus berlembut ketika menjirus air ke badan jenazah,” katanya.

Namun katanya, apa yang penting individu yang mahu menguruskan jenazah perlu ada sifat berani dan keinginan yang tinggi untuk mencuba.

Kongsi Petua

Bercerita lebih lanjut, Hod berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah saat memandikan jenazah mereka yang meninggal mati beragan iaitu mayat yang meninggal sendirian dan hanya ditemui selepas beberapa hari.

“Ada mayat yang ditemui dalam keadaan televisyen masih terpasang dan kematiannya hanya disedari selepas tiga hari. Kulit jenazah mudah tercabut jika digosok.

“Untuk jenazah yang begini, cara mandinya berbeza. Kita tak boleh gosok, tapi kena jirus saja. Kita bancuh satu baldi air sabun dan satu baldi air kapur barus...kita juga guna peluntur,” katanya.

Selain itu katanya, beliau juga pernah memandikan jenazah yang meninggal dunia akibat terbakar selain jenazah yang meninggal sendirian dan hanya ditemui selepas dua minggu di mana separuh badannya hanya tinggal tulang.

“Kalau hendak menguruskan jenazah akibat kemalangan juga ada cara yang berbeza di mana ada bacaan ayat tertentu untuk memberhentikan darah yang sentiasa mengalir,” katanya.

Hod turut berkongsi pelbagai petua dalam menguruskan jenazah antaranya ialah menghilang bau busuk jenazah yang sudah lama.

“Caranya ialah dengan mencalit belacan pada hidung sebelum masuk ke bilik jenazah untuk memandikan jenazah terbabit. Bau busuk jenazah tidak dapat dihidu kerana bau belacan itu,” katanya.

Elak Badi Mayat

Selain itu katanya, ayat al-Quran tertentu juga perlu dibaca agar tidak terkena badi mayat ketika memandikan jenazah.

“Jika terkena badi ini agak bahaya dan perlu diubat sekiranya terkena kerana tabiat si mati akan terkena pada orang yang menguruskannya,” katanya yang juga merupakan pengamal perubatan Islam.

Hod turut berkongsi pengalamannya memandikan jenazah yang meninggal dunia akibat Aids atau HIV.

“Menguruskan jenazah HIV dan Aids ini biasanya saya akan uruskannya dari mula sehinggalah ke tanah perkuburan dengan pemantauan pegawai hospital.

"Untuk memandikan jenazah  ini berbeza dari sudut persediaan barangannya di mana perlu ada plastik untuk menadah air mandi jenazah agar tidak mengalir keluar,” katanya.

Tambahnya lagi, memandikan jenazah HIV dan Aids lebih mudah diuruskan di hospital kerana mempunyai saluran khas untuk mengalirkan air terbabit.

“Pengurus jenazah juga perlu berpakaian lengkap disediakan pihak hospital dan tidak boleh ada luka pada badan. Sekiranya ada luka, perlu dibalut dengan kemas,” katanya.

Hod juga memberitahu, urusan memandikan jenazah kini jauh lebih mudah berbanding zaman dahulu dengan pelbagai kelengkapan yang disediakan.

Selain boleh menguruskan jenazah, Hod juga dikatakan boleh mengubati pesakit dengan cara perubatan Islam.

"Saya teringat kenangan mandikan jenazah arwah ayah saya di mana kami adik-beradik perlu ribakan arwah untuk memandikannya.

“Selain itu, orang zaman dulu jika ada kematian mereka akan guna batang pokok pisang sebagai tempat untuk memandikan jenazah,” katanya.

Dalam pada itu, Hod memberitahu masih ramai yang tidak tahu menguruskan jenazah justeru dia menasihatkan agar ilmu itu dipelajari bagi memudahkan urusan memandikan jenazah keluarga masing-masing.- Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Hod , Jerantut

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan