13 Premis Makanan Diarah Tutup - Berita Semasa | mStar

13 Premis Makanan Diarah Tutup

Diterbitkan: Rabu, 15 November 2017 9:29 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Sebanyak 13 premis menjual makanan diarah tutup serta-merta kerana melanggar peraturan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 menerusi operasi bersepadu Penguatkuasaan Undang-undang Kesihatan Awam Peringkat Terengganu yang diadakan di daerah ini, Isnin.

Operasi besar-besaran terakhir bagi tahun ini diadakan selama dua hari berturut-turut bermula 12 November membabitkan seramai 196 pegawai dan anggota penguat kuasa undang-undang kesihatan awam dari seluruh negeri.

Operasi diketuai Pejabat Kesihatan Daerah Dungun itu memfokuskan kepada penguatkuasaan Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan (PPM) 1985, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT) dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM).

Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Hazlin Abu Bakar berkata, sebanyak 13 premis diarah tutup kerana didapati tidak bersih dan gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah seksyen berkaitan.

“Menerusi operasi kali ini, sebanyak 41 premis di sekitar Dungun diperiksa merangkumi aspek kebersihan. Berdasarkan pemeriksaan 19 notis 3B berkait kesalahan di bawah peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009 telah dikeluarkan.

“Bagi pemeriksaan pematuhan terhadap PPM pula, tujuh premis dilawati dan sejumlah 321 makanan dirampas. Rampasan membabitkan kos sebanyak RM2,237 dan kebanyakan kerana melakukan kesalahan tamat tarikh luput dan tiada alamat syarikat pengimport,” katanya menerusi satu kenyataan bertulis kepada media.

Beliau berkata, menerusi operasi itu juga sebanyak 17 notis termasuk kepada dua remaja di bawah 18 tahun dikenakan notis kerana melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983.

“Selain mengenakan notis, sejumlah 24 paket hasil tembakau bernilai RM140.50 dirampas. Notis dan rampasan dilakukan menerusi PPKHT yang memfokuskan kepada pematuhan larangan merokok di premis kerajaan, taman awam serta R&R di Paka dan Bukit Besi.

Selain kawasan larangan merokok, premis jualan rokok juga diperiksa bagi pematuhan tanda larangan penjualan hasil tembakau kepada individu di bawah 18 tahun,” katanya. - Sinar Harian

Tags / Kata Kunci: Dungun , Kementerian Kesihatan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan