Anak Panda Nuan Nuan Pulang Ke China - Berita Semasa | mStar

Anak Panda Nuan Nuan Pulang Ke China

Diterbitkan: Selasa, 14 November 2017 10:02 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Nuan Nuan, anak kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan di Malaysia, dihantar pulang ke negara kelahiran asal ibu bapanya di Pengkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China, pada Selasa.

Nuan Nuan, yang berusia 26 bulan, meninggalkan Malaysia melalui pesawat MH6476 yang berlepas kira-kira 5.40 petang ke Lapangan Terbang Shuanglin, Chengdu.

Sebelum itu, Nuan Nuan, yang bergerak dari Zoo Negara, Kuala Lumpur, ditempatkan di Hotel Haiwan, MASkargo bagi melalui proses akhir untuk haiwan seberat 90 kg itu melakukan persiapan sebelum berlepas ke Chengdu,China yang akan mengambil masa penerbangan lebih empat jam.

Penghantaran Nuan Nuan adalah sebagai memenuhi Perjanjian Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi, yang ditandatangani bersama China pada 15 Jun 2012, memperuntukkan anak yang dilahirkan pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, dihantar ke negara asalnya apabila berusia dua tahun.

Pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 bersempena hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia dan China.

Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi, Dr Mat Naim Ramli ketika ditemui pemberita berkata beliau akan turut sama ke Pengkalan Panda Dujiangyan, Sichuan, China untuk meninjau keadaan Nuan Nuan sehingga Jumaat ini.

“Nuan Nuan merupakan anak panda yang baik dan tidak membawa banyak masalah kepada kami. Pastinya kami merasa sedih, tapi dalam masa yang sama kami berbangga kerana Nuan Nuan adalah simbol keupayaan Malaysia untuk memelihara haiwan unik itu dan berharap pada masa akan datang, Malaysia berpeluang untuk menjaga haiwan terancam lain,” katanya.

Mat Naim berkata pihak akan mengadakan pertemuan dengan pihak bertanggungjawab di negara itu pada Rabu bagi mengadakan perbincangan antaranya meminta nama Nuan Nuan tidak ditukar.

Mat Naim dalam pada itu yakin anak panda gergasi tersebut akan cepat menyesuaikan dirinya di China kerana spesies haiwan itu bersifat “menyendiri”. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAB Kargo Sdn Bhd Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata pihaknya berbangga kerana mendapat peluang untuk kali kedua menguruskan panda gergasi, bermula dengan ketibaan pasangan Xing Xing dan Liang Liang dan kemudian penghantaran anak mereka Nuan Nuan.

“Sebagai syarikat yang berpengalaman lebih 20 tahun, MASkargo dan Hotel Haiwan mengendalikan pengangkutan untuk haiwan peliharaan, ternakan dan eksotik, kami juga telah membuat persediaan rapi untuk menghantar pulang anak panda gergasi itu,” katanya.

Kos penerbangan bernilai kira-kira US$100,000 dianggap sebagai “khidmat negara” ditanggung  sepenuhnya oleh MASkargo, katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Nuan Nuan , Panda
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan